Quote by Imam Muhammad Al-Baqir

Knowledge and science is the fruit of paradise; in times of threat it is one's ally, in exile it keeps one company, and in solitude it is one's intimate friend and companion - Quotes By Imam Muhammad Al-Baqir Ibn Ali Zainal Abidin Ibn Al-Hussein Ibn Ali Ibn Abi Talib

06/03/2012

Ibu mertuaku......


Ibu mertuaku....




Pada suatu masa dahulu, ada seorang tukang cerita. Kerjanya setiap hari ialah bercerita. Pelbagai cerita keluar dari mulutnya sehingga pada suatu hari, dia merasa bosan kerana asyik mengulangi cerita-cerita dongeng yang sama. Dia keluar meninggalkan rumahnya untuk mencari satu kisah yang benar-benar berlaku dalam masyarakat.


Dia tiba di sebuah kampung. Tukang cerita itu menyewa sebuah pondok kecil di situ. Kemudian dia keluar merayau setiap hari untuk mencari kisah yang boleh dijadi bahan cerita. Sebulan berlalu, dia masih tidak menemui apa-apa di situ. Dengan rasa sedikit kecewa, dia berhenti mencari.


Ketika sedang duduk berehat di pondok kecil itu pada suatu hari, tiba-tiba dia terdengar satu suara yang nyaring - suara seorang perempuan yang sedang memarahi seseorang. Suara itu datangnya dari pondok sebelah.


Tukang cerita itu memasang telinga betul-betul. Bunyinya seperti seorang ibu mertua memarahi seorang menantu namun suara menantunya langsung tidak kedengaran. Sudah tentu tukang cerita itu tidak suka dengan apa yang didengarnya dari pondok sebelah tapi dia gembira kerana akhirnya dia mendapat idea untuk bercerita.


Setiap hari, dia akan memasang telinga mendengar episod demi episod si ibu mertua memarahi menantunya. Kemudian dia mencatatkan semuanya ke dalam sebuah buku. Walaupun dia tidak melihat dengan jelas watak-watak yang terlibat dalam episod ini, namun hatinya telah mula merasa benci terhadap si ibu mertua kerana pada pendengarannya si ibu mertua ini kejam, mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap menantunya sendiri.


Selepas beberapa hari mendengar episod kemarahan itu, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menamatkan ceritanya. Sebelum itu, dia ingin melihat watak si ibu mertua dan si menantu dengan jelas. Dia mengintai melalui sebuah tingkap yang terbuka.


Dia amat terkejut sekali dengan apa yang dilihatnya. Dia mendapati si ibu mertua itu lumpuh dan hanya dapat bergerak dengan menggunakan kerusi roda. Si menantu pulak hanya duduk-duduk di atas kerusi empuk yang berhampiran. Kadang-kadang si menantu menjeling ke arah ibu mertuanya.


Si ibu mertua terkial-kial untuk mendapatkan makanan di atas sebuah meja yang besar. Dengan keadaannya yang lumpuh dan berada di atas kerusi roda, sudah tentu dia tidak berupaya mendapatkan makanan itu. Si menantu hanya memandang ke arah mertuanya. Tidak pula ditolongnya orang tua itu malah diketawakannya lagi. Kelihatan seperti si menantu suka melihat keadaan ibu mertuanya yang terkial-kial untuk mendapatkan makanan yang sengaja diletakkan di tengah-tengah meja besar itu.


Tiba-tiba si ibu mertua terjatuh dari kerusi roda. Si menantu langsung tidak memperdulikan ibu mertua yang sudah terbaring di lantai. Dari situlah bermulanya episod ibu mertua memarahi menantunya dengan mengeluarkan perkataan yang kesat dan itulah yang didengari oleh tukang cerita itu setiap hari.


Selepas melihat kejadian itu dengan matanya, tukang cerita itu kemudiannya menamatkan ceritanya dengan cara yang berbeza. Pada mulanya dia menamatkan cerita dengan gambaran bahawa betapa kejamnya si ibu mertua yang memaki hamun menantunya. Namun sekarang dia melihat betapa si menantu itu bersikap tidak prihatin kepada mertuanya yang lumpuh itu. Hakikatnya, si tukang cerita itu telah menemui kisah benar dan sekali gus mendapat pengajaran daripada kisah itu.

1 comment: