Sebaldi Air dan Al-Quran
Seorang lelaki tua tinggal di sebuah ladang bersama cucu lelakinya. Setiap pagi si Datuk akan bangun awal dan duduk di anjung rumah sambil membaca al Quran.
Si Cucu pula sangat mengkagumi datuknya. Dia ingin menjadi seperti datuknya lantas mengikut dan meniru apa saja yang dilakukan oleh lelaki tua itu.
"Tok, saya cuba membaca Quran seperti yang Tok lakukan setiap pagi tetapi saya tidak faham. Saya akan lupa apa yang saya baca sebaik saja saya menutupnya. Apakah kebaikannya membaca Quran padahal saya tidak memahaminya?" kata si Cucu pada suatu pagi.
"Ambil bakul ini dan bawa ia ke sungai. Cedok air sungai dan bawakan air itu kepada datuk" pinta si Datuk.
Si Cucu melakukan apa yang disuruh oleh datuknya tanpa banyak soal. Namun setiap kali dia mencedok air menggunakan bakul itu, air tersebut akan kering sebelum dia sempat sampai di rumah.
"Cucu mesti berlari dengan lebih cepat supaya air yang di dalam bakul itu tidak sempat kering" kata si Datuk sambil tersenyum.
Si Cucu pun berlari sambil membawa sebakul air dengan harapan ia akan sempat sampai di rumah sebelum air yang di dalam bakul itu kering. Malangnya, selaju mana pun dia berlari, air di dalam bakul itu akan kering sebelum dia sempat tiba di rumah. Si Cucu kepenatan lalu menemui si Datuk untuk memberitahu bahawa betapa mustahilnya untuk membawa pulang air di dalam bakul.
"Kenapa kita tidak gunakan saja timba untuk mengangkut air?" tanya si Cucu kepada datuknya.
"Yang datuk inginkan ialah sebakul air bukan setimba air. Kamu tidak mencubanya dengan bersungguh-sungguh" kata si Datuk.
"Saya akan tunjukkan kepada Tok bahawa sia-sia saja mengangkut air menggunakan bakul" kata si Cucu lagi.
Sekali lagi, si Cucu mencedok air dengan menggunakan bakul dan berlari sekuat hatinya menuju ke rumah namun air yang di dalam bakul itu akan kering sebelum dia sempat tiba di sana. Perbuatan ini diperhatikan oleh si Datuk.
"Tok dah lihat sekarang kan? Mustahil untuk mengangkut air menggunakan bakul. Ia adalah perbuatan yang sia-sia" kata si Cucu.
"Jadi cucu ingat ia adalah satu perbuatan yang sia-sia? Cuba cucu lihat keadaan bakul itu" kata si Datuk.
Si Cucu melihat dan membelek bakul tersebut. Pertama kali dia perasan yang keadaan bakul itu berbeza sekarang. Bakul itu kelihatan lebih bersih daripada sebelumnya, luar dan dalam.
"Cu, begitu juga yang terjadi apabila kita membaca Quran. Mungkin cucu tidak memahami dan tidak mengingati semua isi kandungan Quran tersebut tetapi cucu akan berubah menjadi bersih, luar dan dalam. Begitulah caranya Allah memelihara kita di dunia ini" kata si Datuk.
No comments:
Post a Comment