Tersebutlah kisah di sebuah
tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat
untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu.
Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama
yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu
kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.
Berkali-kali diberikan nasihat
namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah
makin menjadi-jadi.
“Awak wajib mendirikan solat lima
waktu. Solat merupakan tiang agama kita”, kata salah seorang pendakwah kepada
pemuda tersebut.
“Emm..insyaAllah kalau saya rajin
saya akan buat ye”, jawab pemuda tersebut secara sinis.
Begitulah seterusnya. Sehinggalah
datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka.
Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk.
Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.
“Syeikh pun nak tegur saya juga?
Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” , sindir pemuda ini bila melihat
ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.
Ulama tersebut sambil tersenyum
menjawab “Sekadar ingin berkenalan. Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu
seperti yang kamu sebutkan”.
Pertemuan pertama berjalan dengan
lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat. Perkara
yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang
tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.
Pemuda tersebut begitu senang
dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua
berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap
kali duduk, terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya
meninggalkan solat.
Akhirnya pemuda ini pula datang
berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan
mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh
tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau
akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak
al-Azhar di tempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh.
Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.
Sebelum berpisah, Syeikh memeluk
Ahmad seraya berkata dengan lembut “Ahmad, aku ada mendengar suara-suara
mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?”
Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.
“Memang benar wahai tuan Syeikh.
Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku
inilah yang menghalang untukku melakukannya”, jawab Ahmad memberikan alasan.
“Baiklah, kalau begitu, bolehkah
kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”
“Permintaan apa itu wahai tuan?”
“Kamu pilih solat mana yang
paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai. Boleh?” Tanya Syeikh
kepada Ahmad.
Terkejut Ahmad mendengar
pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.
“Bolehkah begitu wahai tuan
Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.
“Boleh tapi hanya untuk kamu
sahaja”, Jawab Syeikh sambil tersenyum.
“Baik, dulu kamu pernah ceritakan
kepadaku bahawa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun
awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Benar Tuan Syeikh”
"Kalau begitu aku cadangkan
kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi, apa kata jika kamu
basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu
dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat
bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.
Ahmad tanpa banyak bicara terus
menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia
menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.
“Janji denganku Ahmad yang kamu
tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu.
InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar
dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Boleh
ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.
“Aku berjanji akan menunaikannya”.
Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di
dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk
melaksanakan janjinya.
Tahun berikutnya, setelah Tuan
Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira apabila melihat
Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad
hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh
tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.
Suatu pagi setelah selesai
menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad.
Seraya bertanya, “Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari
yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?” Ahmad menjawab dengan yakin,
“Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat
jemaah subuh di masjid ini.”
“Alhamdulillah, bagus sekali
kamu. Engkau benar-benar menunaikan janjimu.”
“Mudah sahaja rupanya tunaikan
solat ini ya Tuan”.
“Perkara yang kamu lakukan tanpa
paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya
suatu paksaan. Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun.
Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap
kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?” Syeikh
menerangkan kepada Ahmad.
“Benar apa yang tuan katakan.
Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita
laksanakan.”
“Ahmad, kamu habis bekerja pukul
berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.
“Ketika azan Zohor aku berhenti
untuk makan, kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar.”
“Pasti kamu bersihkan sedikit
dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar
Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.
“Ya benar Tuan.”
“Kalau begitu, apa pendapatmu
jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan
ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat.
Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu
agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.
Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan
Syeikh. “ betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya
akan cuba laksanakannya”.
Jauh disudut hati Syeikh berasa
sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai
kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau
berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.
Begitulah keadaannya Ahmad.
Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah
bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat
tersebut.
Ahmad seperti biasa hanya
mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib.
Terus beliau berangkat pulang ke rumah.
Suatu hari semasa Tuan Syeikh
melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib
berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.
“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad?
Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.
“Alhamdulillah, semakin bertambah
hasilnya Tuan”
“Baguslah begitu. Aku sentiasa
doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.
“Ahmad, aku ingin bertanya
kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa
lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa
kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”
Ahmad tunduk sambil memikirkan
jawapan yang patut diberikan.
“Lebihnya kamu semua adalah
kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”.
“Baiklah, adakah kamu ingin
menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.
“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh,”
jawab Ahmad dengan penuh semangat.
“Kalau begitu dirikanlah solat
Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami. Malah engkau akan menjadi
lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada
Ahmad.
Akhirnya, berkat kesabaran Tuan
Syeikh mendidik Ahmad. Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi
meninggalkan solat.
Lima tahun bukanlah masa yang
singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi
sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.
Berbeza dengan kita sekarang.
Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip
mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh,
mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah. Lari
daripada jalan kebenaran.
No comments:
Post a Comment