Tip Amalan Harian : 15 Sunnah Rasulullah SAW
Berikut merupakan antara amalan yang dilakukan oleh Nabi
Muhammad Shalallahu ‘alaihi wasalam dan ia menjadi sunnah buat umatnya yang
dikasihi.
Amalan ini mampu menjadikan seseorang itu mencintai baginda
dan boleh membawa seseorang itu cenderung ke arah ‘soleh wa musleh’.
1. Senyuman
Abdullah bin Al-Harist Radliyallahu’anhu menuturkan, yang
artinya,
“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak
tersenyum daripada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.” (Riwayat
At-Tirmidzi)
2. Dahulukan Kanan
Daripada Aisyah, katanya: “Rasulullah Shalallahu ‘alaihi
wasalam lebih suka mendahulukan yang kanan dalam segala hal (perbuatan) seperti
memakai terompah, bersikat, berwuduk dan mandi.“ (Hadis riwayat Muslim)
3. Berpakaian
Ummu Salamah meriwayatkan: “Pakaian yang paling disukai oleh
Baginda Shalallahu ‘alaihi wasalam ialah pakaian Qamis).” (Riwayat Tarmizi dan
Abu Daud)
4. Bercelak
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi
wasalam bersabda:
“Hendaklah kamu bercelak dengan menggunakan batu celak
(Al-Itsmid) kerana celak dapat memperjelaskan penglihatan dan menumbuhkan bulu
(mata).”
(Riwayat Tarmizi dan Abu Daud)
5. Memakai Cincin
Ali bin Abi Talib meriwayatkan: “Rasulullah Shalallahu
‘alaihi wasalam memakai cincin di jari tangan kanan Baginda.”
(Riwayat Tarmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Hibban.)
6. Makan
Ka’ab bin Malik r.a. meriwayatkan: “Rasulullah Shalallahu
‘alaihi wasalam makan menggunakan ketiga jari Baginda. Selepas makan Baginda
menjilati ketiga-tiganya.”
(Riwayat Tarmizi, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
7. Minum
Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan: “Ketika Rasulullah Shalallahu
‘alaihi wasalam minum, Baginda menarik nafas (menghela) dua kali.” (Riwayat
Tarmizi dan Abu Syaikh)
8. Bersilaturrahim
Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu tentang sesuatu yang
paling cepat mendatangkan kebaikan ataupun keburukan?
Sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan, adalah
balasan (pahala) orang yang berbuat kebaikan dan menghubungkan tali
silaturahmi, sedangkan yang paling cepat mendatangkan keburukan ialah balasan
bagi orang yang berbuat jahat dan yang memutuskan persaudaraan.”
(Riwayat Ibnu Majah).
9. Berjalan
Ali bin Abi Talib meriwayatkan: “Apabila Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam berjalan, tubuh Baginda tegak seperti sedang
menuruni tanah yang landai.”
(Riwayat Tarmizi dan Hakim)
10. Berkata
Anas Ibnu Malik r.a. meriwayatkan: “Rasulullah Shalallahu
‘alaihi wasalam mengulangi perkataan Baginda tiga kali supaya lebih difahami
(oleh pendengarnya).” (Riwayat Tarmizi dan Hakim)
11. Tertawa
Abdullah bin Harith r.a. meriwayatkan: “Tawa Nabi Muhammad
Shalallahu ‘alaihi wasalam hanyalah senyuman.”(Riwayat Tarmizi )
12. Bergurau
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan: “Betapa baiknya Nabi
Shalallahu ‘alaihi wasalam menggauli kami. Baginda berkata kepada saudaraku
yang masih kecil, ‘Wahai Abu Umair, apa yang sedang dilakukan oleh burung
nughair?’”
(Riwayat Tarmizi, Bukhari, Abu Daud, Nasa’i dan Ahmad)
13. Tidur
Aisyah r.ha. meriwayatkan: “Setiap kali hendak tidur pada
malam hari, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam selalu menadahkan kedua tapak
tangan sambil membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas kemudian Baginda
meniup kedua-dua tapak tangan tersebut.
Setelah itu, Baginda menyapu bahagian tubuh yang terjangkau,
dimulai dari kepala, wajah lalu bahagian depan tubuh Baginda. Hal itu Baginda
lakukan sebanyak tiga kali.”
(Riwayat Tarmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)
14. Membaca al-Quran
Ya’la bin Mamlak bertanya kepada Ummu Salamah tentang cara
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam membaca al-Quran. Menurut Ummu Salamah,
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam membaca al-Quran dengan sangat jelas
kalimah demi kalimah. (Riwayat Tarmizi, Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i)
15. Ibadah
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: “Rasulullah Shalallahu ‘alaihi
wasalam melaksanakan solat hingga kedua-dua kaki Baginda bengkak.
Beliau bertanya, “Mengapa engkau melakukan hal ini padahal
engkau mengetahui bahawa Allah SWT telah mengampuni dosamu yang telah berlalu
dan akan datang?”
Baginda Shalallahu ‘alaihi wasalam menjawab, ‘Tidakkah aku
menjadi hamba yang banyak bersyukur?’.” (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Khuzaimah)
والله أعلم بالصواب
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
No comments:
Post a Comment