"Disini saya hendak bercerita sedikit tentang ayah saya
yang juga seorang karkun atau tabligh. Hanya tuan-tuan sahaja yang dapat
membuat kesimpulan dengan apa yang terjadi. Kisah ini hanya sebagai renungan
kita bersama sementara masih hidup.
Pada 1 mei 2009 yang lepas ayah saya baru sahaja meninggal
dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan juga
ulser perut. Saya hanya mempunyai 2 orang adik yang masih lagi belajar. Adik
saya yang pertama masih lagi menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan
yang kedua pula masih bersekolah di tingkatan lima manakala ibu pula sudah lama
meninggal dunia pada tahun 1997. Saya pula berumur 23 tahun dan bekerja di
sebuah syarikat swasta sebagai pembantu teknik. Sejak kematian ibu ayahlah yang
menjaga dan mendidik kami dengan penuh kasih sayang.
Walaupun hanya bergantung kepada pencen ibu yang diterima
setiap bulan dan pendapatan ayah yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak
seberapa tapi kehidupan kami tetap bermakna. Ayahlah satu-satunya yang kami
ada. Walaupun kehidupan kami tidak mewah tetapi dengan apa yang ada kami tetap
bersyukur dan ayah masih lagi mampu untuk menyara kami sekeluarga sehinggalah
saya dapat belajar di intitusi pengajian tinggi awam.
Ayah telah memberikan kami didikan agama yang cukup sempurna
sejak dari kecil lagi. Setiap kali selesai solat maghrib kami akan membaca
taklim (Hadis) dirumah sementara menunggu waktu isyak. Semua ini adalah hasil
didikan ayah sejak kecil lagi kepada kami adik-beradik hingga kini dan tidak
pernah kami tinggalkan.
Walaupun ayah selalu keluar ke jalan ALLAH 3 hari setiap
bulan dan 40 hari setiap tahun iaitu selepas raya aidilfitri atau hujung tahun
tetapi tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga tidak pernah ayah abaikan. Walaupun
seringkali meninggalkan kami sendirian tetapi kami tetap redha kerana kami tahu
ayah menjalankan tanggungjawabnya kepada agama dan masyarakat. Kami percaya
yang ALLAH akan membela dan memelihara kami walaupun tanpa ayah. Saya juga
seringkali mengikut jemaah keluar kejalan ALLAH bila ada kelapangan walaupun
semasa bergelar seorang penuntut.
Tetapi usaha yang ayah jalankan ini tidak mendapat sokongan
dari ahli keluarga dan saudara-mara yang lain kerana mereka menyangka yang ayah
tidak bertanggungjawab kepada anak-anak. Walaupun begitu ayah tetap tenang dan
tidak mudah melatah dengan apa yang ayah hadapi walaupun kutukan demi kutukan
terus dilemparkan, ini kerana ayah telah melakukan usaha ini sejak dari umur
belasan tahun lagi. Ayah juga sering berpuasa di bulan rejab, syaaban, ramdhan
berturut-turut dan melakukan solat malam, tidak pernah ayah tertinggal walau
satu malam sekali pun, selesai solat ayah akan memanjatkan doa kepada ALLAH
S.W.T meminta pertolongan, bantuan dan memohon kepada ALLAH agar anak-anaknya
menjadi seorang insan yang berguna dan tidak sekali-kali meninggalkan ibadah.
Setelah tamat pengajian saya telah dipanggil untuk
ditemuduga bagi jawatan juruteknik di sebuah syarikat yang menjalankan
kerja-kerja bagi industry petroleum, gas dan petrokimia sekali gus diterima
bekerja. Saya terlalu bersyukur kepada ALLAH kerana memakbulkan doa ayah selama
ini dan saya tidak pernah menganggur setelah tamat pengajian. Berkat doa ayah
juga lah saya dapat mengecapi kejayaan pada hari ini. Setelah 2 tahun bekerja
saya telah dinaikan pangkat kepada pembantu teknik, walaupun begitu tidak
pernah sekali pun saya mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang hamba
kepada ALLAH dan anak.
Semasa ayah dimasukkan ke wad ICU di Hospital Kuala Lumpur
ramai antara kenalan ayah yang datang dari dekat mahupun jauh, ada antara
mereka yang datang dari Jordan, Kuwait, Pakistan dan Arab Saudi. Kesemua mereka
adalah jemaah-jemaah Tabligh yang telah sama-sama melakukan usaha di Malaysia.
Mereka datang sebaik sahaja mendapat berita yang ayah telah dimasukkan ke
hospital walaupun baru hari kedua ayah dimasukkan ke wad.
Semasa diwad ICU ayah tidak pernah melakukan perbuatan yang
pelik dan ayah tidak pernah sekalipun meninggalkan solat lima waktu walaupun
terpaksa baring diatas katil hinggalah pada hari jumaat 1 may 2009 semasa
sedang solat asar rakaat kedua secara tiba-tiba ayah mula tidak sedarkan diri
kerana luka pada usus telah berdarah kembali.
Semasa ayah sedang sakit pernah saya hendak menghantar ayah
untuk menerima rawatan dihospital kerana penyakit kencing manis tetapi ayah
menolak kerana susah untuk menunaikan solat di sana. Walaupun ayah sakit ayah
masih lagi mampu menunggang motorsikal untuk menunaikan solat lima waktu di
masjid dan masih lagi menjalankan usaha dengan keluar 3 hari.
Sebelum ayah mendapat penyakit kencing manis pada awal april
2009 ayah telah berniat untuk keluar 40 hari ke jalan ALLAH untuk melakukan
usaha tersebut dan ketika sakit ayah tetap berkeras dengan keputusan yang
dibuat. Bagi saya sebagai seorang anak saya tiada hak untuk melarang ayah dari
terus melakukan usaha malah saya berharap agar ALLAH dapat memelihara ayah dari
sebarang perkara yang tidak diingini. Saya redha jika ayah pergi ketika
melakukan usaha tersebut kerana mati dijalan ALLAH adalah mati syahid dan saya
bersyukur sekiranya ia terjadi. Tetapi belum sempat ayah melakukan usaha ALLAH
terlebih dahulu mengambil nyawanya.
Pada jam 2100 1 mei 2009 ayah telah punkembali kerahmatullah
dengan cara yang paling mudah yang ALLAH berikan. Ayah pergi dalam keadaan yang
tenang. Saya sempat untuk mengajar ayah mengucap dua kalimah syahadah walaupun
tiada suara ayah kedengaran tetapi dari raut wajah dan gerakan bibir telah
membuatkan saya yakin yang ayah mendengar apa yang saya ucapkan. Dengan airmata
yang bergelinang dahi yang mula dibasahi peluh dan ketenangan air muka ayah
telah menghadap tuhan yang maha esa penghulu kepada langit dan bumi di arasy
ALLAH S.W.T. Segala urusan telah ALLAH permudahkan walaupun usaha yang ayah
lakukan tidaklah sebesar mana.
Semasa melakukan urusan untuk menuntut jenazah saya telah
diberitahu yang segala perbelanjaan rawatan dihospital telah pun dibayar
sepenuhnya oleh seorang HAMBA ALLAH begitu juga dengan urusan pengkebumian dan
tahlil segalanya telah diuruskan oleh orang perseorangan yang tidak saya
kenali. Keesokan paginya ramai kenalan ayah yang hadir untuk menziarah tidak
kira dari dalam dan luar negara jauh mahupun dekat. Pelajar-pelajar tahfiz juga
turut sama hadir.
Keesokan paginya semasa urusan memandikan jenazah terdapat
darah yang mengalir dari luka akibat proses hemodalisis. Darah tersebut cukup
sifatnya dan merah mengalir keluar dari tubuh ayah. Sedang saya sibuk menggosok
badan ayah, seorang tukang mandi yang saya cukup kenali sebagai berkata sesuatu
kepada saya.
“Bapak kau ni tengah tidur ke?" tanya Wak.
Saya tidak dapat melayan pertanyaan wak kepada saya kerana
sedang sibuk memandikan jenazah ayah.
“Ko pakai minyak atar ke ni?" Tanya wak lagi.
“Mana ada, mandi pun belum lagi ni wak. Kalau minyak atar tu
ada la di rumah. Minyak atar kasturi ayah punya”, Jawap saya.
“Hah! Ni bau kasturi la ni”, balas wak kepada saya.
Saya terus mendiamkan diri dan menyambung kerja saya semula.
Dalam hati saya berkata.
“Betul juga apa yang wak ni cakap, dari tadi lagi aku bau
semacam je. Macam bau badan ayah masa nak ke masjid untuk solat berjemaah pula”
Selepas solat zohor saya terus melakukan solat jenazah
bersama-sama dengan jemaah yang lain dan apa yang saya dengar solat jenazah ini
terlalu ramai dari bahagian tengah masjid hingga ke bahagian belakang saf
lelaki. Selepas itu jenazah terus dibawa ke kawasan perkuburan islam Jalan
Ampang untuk dikebumikan dan sekali lagi perkara yang pelik berlaku semasa menurunkan
jenazah ke dalam liang lahad dimana lima orang boleh muat untuk turun kebawah
sedangkan badan kami besar dan laing lahad hanya berukuran tujuh kaki lebar.
Semasa jenazah ayah dibawa turun dapat saya rasakan yang
beratnya terlalu ringan seolah-olah sedang memeluk kapas. Sekali lagi perkara
pelik terus berlaku semasa bilal sedang membaca talkin hadirin yang hadir
tercium bau yang semerbak harum bak kasturi dan saya sendiri turut sama mencium
bau tersebut. Selesai sahaja urusan pengkebumian ramai kenalan yang hadir
bertanyakan soalan kepada saya tentang apa yang berlaku semasa di tanah
perkuburan dan persoalan itu masih tidak dapat saya jawap hingga hari ini.
Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahui apa yang berlaku.
Bagi saya setiap amalan kita didunia pada hari ini akan
menjadi pertimbangan kita diakhirat kelak. Jika didunia ALLAH ingin menunjukan
kepada kita atas perbuatan kita maka ianya akan berlaku inikan pula di akhirat.
InsyaALLAH tuan-tuan apa yang berlaku kita jadikan iktibar buat diri kita dan renungan
kita bersama. Saya tidaklah pandai menulis dan berkata-kata apatah lagi bila
berbicara soal agama, saya juga seperti tuan-tuan insan yang lemah disisi ALLAH
S.W.T. segala apa yang saya ceritakan adalah kisah benar dalam hidup saya dan
ianya bukanlah nukilan semata-mata. Terpulang pada tuan-tuan semua untuk
menilainya. Walaupun ayah telah tiada tetapi saya berniat dalam hati saya
kerana ALLAH S.W.T saya akan meneruskan usaha yang dilakukan oleh ayah."
Allah melindunginya..amin
ReplyDelete