Saban hari, kita sentiasa diperdengarkan dengan laungan azan
yang mengajak manusia supaya mendatangi rumah-rumah ALlah. Kita diajak dan
dipelawa untuk datang ke rumahNya untuk bersama-sama menyembah atau mengabdikan
diri sebagai salah satu tanda kesyukuran di atas segala nikmat yang telah
diberikannya kepada kita selama ini.
Malangnya, berapa orangkah di antara kita yang mendengar
panggilan tersebut lalu menyahutnya? Berapa ramaikah di antara kita yang segera
meninggalkan apa sahaja urusan ketika itu semata-mata untuk menghadirkan diri
ke surau atau masjid demi untuk mendirikan sebuah solat secara berjemaah yang
mana ianya sangat disukai oleh Rasulullah SAW?
Azan adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh penganut
agama Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya
orang-orang Mukmin boleh diseru supaya bergesa berkumpul untuk mengerjakan
solat fardu.
Iqamat pula bermaksud sebutan tertentu untuk memberitahu
para jemaah untuk mula mengerjakan solat.
Sesungguhnya azan yang dilaungkan di muka bumi ini dengan
penuh keikhlasan akan sampai ke pendengaran penghuni langit. Malaikat akan
beramai-ramai memohon keampunan untuk si muazzin di atas usahanya memanggil dan
mengajak manusia lain agar datang ke rumah ALlah bagi menunaikan solat secara
berjemaah. Begitulah juga dengan setiap mereka yang melangkah keluar dari rumah
masing-masing menuju ke tempat di mana azan tadi dilaungkan. Semuanya akan
didoakan oleh para malaikat yang menghuni langit dan makhluk-makhluk lain yang
berada di sekeliling termasuklah tanah dan batu yang dijadikan tempat berpijak.
Orang-orang yang mendengar seruan azan tetapi sengaja
memekakkan telinga serta tidak pula mahu menyahutinya, itulah orang yang
menyombongkan diri di hadapan ALlah SWT. Kesombongan seperti ini, yang banyak
diceritakan di dalam Al-Qur’an akhirnya akan menyebabkan manusia itu dihumban
ke dalam Neraka Jahannam dan mereka akan menyesalinya dengan seribu penyesalan.
Mereka akan memohon, merintih, merayu dan memanggil-manggil ALlah SWT agar
diampunkan segala dosanya atau dikembalikan semula ke dunia untuk menebus segala
kecuaian yang pernah dilakukan.
Maka menjawablah Allah SWT : “Sewaktu di dunia dahulu,
engkau sombong terhadap panggilan Aku. Lima kali sehari semalam Aku memanggil,
menyeru dan mengajak engkau supaya datang ke rumahKu, menyembah Aku
bersama-sama hambaKu yang lain..tetapi engkau angkuh, biadap, sombong dan lebih
mementingkan kehidupan duniamu yang langsung tidak ada nilainya di sisi Aku.
Maka pada hari ini, bagaimana aku hendak menjawab panggilan dan rintihanmu
itu?”.
Kelebihan menjadi Muazzin (bilal).
Mengusir Syaitan
Hadis daripada Abu Hurairah katanya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan
menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya)
sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan
kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan
diri. Sehinggalah selesai iqamah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia
melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan
berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang
tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa
rakaat dia bersembahyang.”
(Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)
2. Diampunkan dosanya selama bilal itu mengalunkan azan.
Dalam satu hadis yang lain.
Daripada Al-Barra’ bin Azib r.a, berkata bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berdoa untuk yang berdiri
di saf pertama. Para muazzin pula akan diampunkan sebanyak mana suaranya dan
siapa yang mendengarnya menjadi saksi. Dia akan mendapat pahala orang yang
mengerjakansolat bersamanya”. (H.R Al-Nasai).
3. Jin Dan Manusia Serta Selainnya Menjadi Saksi Di Hari
Qiamat
Sebagaimana hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman
katanya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu
‘anhu berkata kepadanya (‘Abdullah bin ‘Abdurrahman): “Sesungguhnya aku melihat
engkau menyukai kambing dan sahara. Jika engkau berada di lingkungan kambing
atau saharamu lalu engkau azan untuk sembahyang, maka tinggikanlah suaramu
ketika melaungkannya. Kerana tidak didengar suara orang yang azan oleh jin dan
manusia serta lain-lainnya melainkan menjadi saksi baginya di hari qiamat.
Berkata Abu Sa‘id: “Aku mendengarnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasa’ie)
4. Pintu Langit Dibuka Dan Saat Doa Mustajab.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jika dilaungkan iqamah untuk sembahyang, maka
dibukakan pintu-pintu langit dan dimakbulkan doa.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam: “Ada dua waktu tidak ditolak doa orang yang berdoa, iaitu ketika
iqamah sembahyang dan dalam barisan jihad pada jalan Allah.”
Namun kita perlu ingat, pahala azan akan hilang jika seorang
muazzin itu hanya melaungkan azan kerana dibayar atau diberi gaji. Begitu juga
jika seorang muazzin itu melaungkan azan kerana mahu menunjuk-nunjuk akan
suaranya yang sedap dan lunak. Maka dia akan mendapat dosa riyak.
Oleh yang demikian, marilah kita merebut pahala menjadi
muazzin ini. Jangan kita membiarkan diri kita langsung tidak pandai melaungkan
azan. Kerana azan ini amat dituntut untuk kita hafal sama ada untuk kita
laungkan ke telinga anak yang baru lahir dan juga untuk tujuan-tujuan lain .Tak
kisahlah sedap ke tak, yang penting hati mesti mau ikhlas beb!.
No comments:
Post a Comment