Apabila Roh Mula Berbicara....
Ceritaku sudah menghiasi dada-dada akbar tempatan dan
menjadi perbualan orang-orang. Bahkan jiran dan saudara mara terdekat tidak
putus-putus mengunjungi rumahku samaada datang berziarah dengan ucapkan takziah
pada ibu ataupun sekadar ingin mengetahui cerita sebenar tragedi tersebut. Ada
yang menyalahkan dan menyumpah-nyumpah lelaki durjana itu, tidak kurang juga
menyalahkan kebodohan aku.
Aku sendiri tidak menjangka dalam ramai-ramai manusia, aku
yang terpilih untuk menemui ajal dengan cerita begini. Waktu ajal itu tiba aku
juga tidak tahu waktunya. Datang dengan drastik dan berlaku dengan pantas. Yang
pasti, teramat sakit.
Malam itu adalah malam terakhir cutiku di kampung. Juga
malam gembira buat aku, ibu dan adik. Kami makan bertiga di ruang dapur sambil
berjenaka dan berbual hal-hal yang menyeronokkan. Ibu menyediakan makanan
kesukaanku. Bukan selalu aku dapat menikmati masakan ibu, kalau bukan kerana
cuti konvokesyen, memang aku tidak berpeluang balik kampung dalam waktu
terdekat ini.
"Kak Lin tak kenyang lagikah?" soal adik ketika
aku mengangkat bekas nasi mahu menambah buat kali ketiga. Aku mengangkat wajah
melihat adik yang melopong. Sambil mencedok nasi ke pinggan dan mengukir
senyuman padanya.
"Ibu, tengoklah Kak Lin ni macam 10 hari tak makan..habis
nasi dalam bekas tu ibu.." Bebel Adik lagi. Ibu yang sedang mengemas dapur
memandang aneh pada kelakuanku.
"Alah adik ni, akak nak makan puas-puaslah. Esok akak
dah tak dapat nak rasa masakan ibu tau.." balasku. Sambil kuhadiahkan
senyuman manja pada ibu. Tangan kiriku sampai pada pinggang adik, lalu cubitan
menyinggah di situ. Adik menggeliat sambil menjerit dan membebel lagi. Aku
menutup mulut menahan ketawa, juga menahan nasi dalam mulutku dari tersembur.
Ketawaku disusuli dengan ketawa ibu dan adik. Kesunyian malam pecah oleh ketawa
yang bersatu.
Ibu kemudiannya mengambil tempat di kerusi sebelah. Mangkuk
betik masak lemak ikan masin kesukaanku dihulurkan. Lauk kegemaran kucedok ke
pinggan serta merta. Ibu mengelengkan kepala merenung tingkahlakuku..."Kalau
ya pun sedap sangat, janganlah gelojoh.." tegurnya. Aku hanya
mengangguk-angguk senyum.
Aku makan banyak malam itu. Masakan mak kurasa nikmat
sangat, perutku terasa masih kosong walaupun sudah 4 pinggan nasi aku isikan.
Bukan aku saja yang perasan keluarbiasaan itu, ibu dan adik juga berkerut
kening melihat kegelojohan aku. Sambil makan ibu yang duduk di sebelahku
memberi nasihat yang tidak putus-putus. Aku hanya senyum mengiyakan walau
sebenarnya semua nasihat itu bagai angin yang berlalu, tidak masuk ke dalam
kepalaku. Biasanya sepatah ibu cakap, berpatah-patah aku lagi menambah. Tapi
malam itu terasa mulut berat untuk mengeluarkan kata-kata. Aku biarkan ibu,
wajah tenang ibu sedang memberi nasihat yang menjadi tatapan.
Keesokan paginya ibu menegurku kerana aku bangun terlalu
awal. Aku sebenarnya tidak tidur pun, malam itu aku sukar melelapkan mata.
Resah gelisah sampai ke pagi. Aku sendiri tidak pasti punca kegelisahan itu.
Selepas mengemas segala barang-barang yang perlu dibawa, ibu
dan adik menghantar aku ke stesen bas. Sampai di stesen bas, aku mencari-cari
kelibat dia, pemilik kereta sewa yang biasa aku naiki setiap kali pulang ke
kampung. Dia yang kukenal sebagai lelaki yang baik, pemandu kereta sewa yang
menjadi pengangkutan utamaku berulang alik antara universiti dan kampungku.
Sudah menjadi kenalanku sejak tahun lepas lagi. Tapi betullah kata orang,
malang tidak berbau. Aku sendiri tidak membau apa-apa. Syak wasangka pada
mulanya ada, tapi disebabkan sudah beberapa kali dia menghantarku ke destinasi
dengan selamat, aku akhirnya meletakkan kepercayaan padanya. Siapa sangka di
sebalik batu ada undang tersembunyi.
Telefon bimbitku berbunyi menandakan mesej masuk.
'saya tepi bustop sebelah utara..'
Aku menoleh ke kanan. Kulihat dia berdiri menyandar pada
kembara merahnya sambil melambai-lambaikan tangan. Beg kujinjing dan bejalan ke
arahnya. Ibu dan adik mengekor di belakang. Aku menemukan dia pada ibu dan
adik. Ketika itu dia dengan teragak-agak untuk memperkenalkan dirinya. Kulihat
ibu merenungnya lama. Dia cepat-cepat menundukkan wajahnya tidak berani
bertentang mata dengan ibu. Segan mungkin. Saat itu seraut wajah curiga ibu
terpamer.
Semasa bersalam dengan ibu, tanganku digenggam kuat. Seakan
Ibu tidak mahu melepaskan aku pergi. Aku memeluk tubuh kecil ibu dengan erat.
"Ibu, anak ibu bukan ke mana-mana, hanya pergi untuk
menimba ilmu..usahlah ibu risau..." bisikku.
Ibu membalas pelukanku dengan lama. "Hati-hati ya Lin,
ingat semua pesan ibu tu..jangan diri baik-baik..." kedengaran bergema di
cuping telingaku. Lembut tangan ibu mengusap belakangku. Aku mengangguk dengan
yakin yang aku akan menjaga diriku dengan baik.
"Dan ibu juga jaga diri baik-baik tau. Adik,
pandai-pandailah adik jaga ibu bila Kak Lin dah tak ada ya." pesanku.
Adik menggangguk dengan muka pucatnya. Ku pandang wajah ibu
juga pucat. Masing-masing menatapku dengan lama. Suasana hening seketika.
Senyap. Langit tiba-tiba mendung dan tiba-tiba angin bertiup kecang. Sungguh
aneh. Barangkali petanda hujan. Aku masuk ke dalam perut kereta dengan berat
hati. Aku melambai ibu dan adik melalui tingkap, perasaan sedih yang aneh lagi
kurasakan. Mataku bergenang seketika.
Hujan mulai turun membasahi bumi. Guruh berdentum dengan
kuatnya.
"Hari ni kita ikut laluan Kuala Kelad ok?" Dia
yang memandu di sebelah tiba-tiba bersuara mendatar. Aku mengiyakan sahaja.
Hujan turun dengan lebatnya dan perjalanan tetap diteruskan.
Sepanjang setengah perjalanan kami hanya berdiam. Tidak seperti selalunya dia
lincah bercerita macam-macam. Kelakuannya juga sedikit ganjil. Tidak
menunjukkan keramahan seperti selalunya, dan diwajahnya tiada lagi terukir
senyum yang panjang. Mungkin letih fikirku.
"Awak tidurlah, kalau dah sampai nanti saya
kejutkan.." dia bersuara setelah berjam-jam senyap. Mungkin kerana perasan
aku merenungnya sejak tadi.
"Tak! Saya tak dapat tidur." Jawabku laju. Aku
tidak mahu tidur dan tidak sesekali akan tertidur. Ibu selalu mengingatkan aku
supaya jangan tidur sepanjang perjalanan, dan itulah yang aku selalu lakukan.
Tidak pernah terlelap sekali pun mengantuk. Aku berjaga-jaga walaupun
kepercayaanku terletak padanya. Waspada itu masih perlu.
Tiada siapa menyangka, sesuatu perkara tidak diingini
berlaku juga akhirnya. Pemikiranku mula disiram rasa curiga sewaktu dia
membelokkan kereta pada simpang yang salah. Katanya itulah jalan baru melalui
Kuala Kelad. Aku diam. Cuba membuang perasaan curiga dan diganti semula dengan
percaya. Tenyata perasaan curigaku semakin meruap apabila melalui kawasan kebun
kelapa sawit.
"Ni jalan apa ni?" soalku keras.
Dia menoleh ke arahku seketika kemudian tersengih dan
memandang ke depan semula. Peluh dingin kurasakan mula membasahi diriku.
"Awak nak bawa ke mana ni???" marahku.
"Ke tempat yang takde orang, yang hanya ada kita berdua
je.." sambil memandangku dari atas ke bawah lalu ketawa sinis.
Aku mula menggelabah. Cemas. Kepercayaanku beransur hilang.
"Tolong hantar saya balik!!!" Jeritku. Sambil
memerhati keadaan sekeliling mencari-cari jika ada kelibat orang atau rumah
berdekatan. Sekeliling hanya ratusan pokok kelapa sawit. Sunyi sepi tiada
kelibat seorang pun makhluk Tuhan. Hujan yang semakin lebat membasahi kawasan
itu.
Ketawanya semakin kuat. Lalu menjegilkan mata padaku. Dia
yang kuanggap baik rupanya binatang! Seratus peratus kepercayaanku hilang. Aku
meneguk air liur. Takut menyelubungi, bemacam-macam adegan muncul difikiran.
Tanpa berfikir panjang kutanggalkan tali pinggang keledar dan cuba membuka
pintu. Pantas juga lenganku digenggam kuat oleh tangannya.
"Hei! jangan lari bodoh!!" Pekiknya.
Aku meronta-ronta dengan keras. Tanggannya kugigit. Dia
menjerit sakit dan lenganku terlepas dari pegangannya. Sepantas kilat pintu
kubuka lalu ku terjun keluar.
Kedengaran kuat bunyi tayar yang dibrek serta merta. Aku
yang tersembam ke tanah cepat-cepat bangkit dan cuba berlari. Lari sejauh yang
mungkin.
"Hoi perempuan! kau nak lari ke mana hah!??? jeritnya.
Kilat sabung menyabung di langit. Guruh berdentum memecah
kesunyian. Aku berlari meredah lebatnya hujan dalam kawasan hutan kelapa sawit
yang tidak ada hujungnya. Lariku ke depan sekuat hati tanpa arah tuju, tanpa
menoleh ke belakang. Sehingga aku rasakan diri ini selamat baru aku akan
berhentikkan langkahan kaki. Malangnya....aku tersungkur. Kakiku tergelincinr
dek tanah becak yang licin. Aku tersembam ke tanah. Sedaya upaya aku cuba
bangkit, tapi dia lebih pantas menerkam aku dari belakang. Aku meronta-ronta
sekuat hati. Sedaya upaya melepaskan diri. Namun terkamannya lebih kuat. Dua
kali ganda tenaganya berbanding kudrat kecilku yang lemah.
"Hei budak bodoh! Kau ingat kau boleh lepas!"
Rambutku ditarik kuat dari belakang. Aku menjerit sekuat yang mungkin meminta
pertolongan. Tapi jeritanku mati dalam hujan yang lebat.
Dengan tenaga yang ada tetap berusaha gagahkan diri untuk
melawan, biar sampai ke hujung nyawa. Dia mula bagaikan kerasukan. Lakunya
kebinatangan. Jijik! Aku masih meronta walau lemah, sambil merayu untuk
dilepaskan. Ratahnya bagaikan binatang membaham mangsanya. Aku hanya wanita
kecil, tidak terdaya dan tenagaku semakin hilang daya untuk melawan. Kebuasan
lelaki yang memiliki sembilan akal itu tidak mampu kuperangi. Kebinatangannya meraja
dalam sekelip mata. Ketika itulah kurasakan tangannya berada pada leherku dan
aku kesesakan nafas. Tersiksa yang amat sangat. Rontaanku makin lemah..saat itu
wajah ibu yang memberi nasihat tidak putus-putus dan wajah adik kesayangan yang
tersenyum manja bergilir-gilir bermain di layar mata. Dua-duanya kulihat
mengangkat tangan masing-masing melambai padaku. "Ya Allah....."
terasa nafas berada di hujung. Rintihan dan tangisku berlalu bersama angin dan
hujan.. Pandanganku gelap.
***
Panas terik sang suria setia memancarkan sinarnya ke seluruh
alam. Dalam masa yang sama hujan rintik-rintik membasahi dedaun yang mulai layu
kekeringan. Waktu inilah aku datangi lagi pondok tua yang aku tinggalkan
semalam. Kulihat ibu duduk bersimpuh sendirian di ruang tamu. Aku dekati ibu
dan duduk melutut di hadapannya. Buat kesekian kalinya melihat pipi ibuku basah
lagi. Titis-titis air itu tidak kering dari kelmarin. Di tangan ibu, gambar
lamaku yang sedang memakai pakaian penganugerahan sekolah tadika, tersenyum
manis memegang segulung sijil. Perlahan jemari ibu menyentuh wajahku pada
gambar. Aku pejamkan mata seakan merasai sentuhan jemari ibu. Saat kucelik,
kulihat ibu meletakkan gambar di dadanya lalu didakap kuat. Esakan ibu
kedengaran memenuhi ruang pondok tua.
"Kenapa takdirmu begini nak?..." Suara ibu antara
dengar dan tidak. Tangis ibu yang kedengaran hebat.
Ibu...
Aku melarikan diri ke beranda. Aku duduk menangis di situ.
Aku tak mampu untuk terus melihat ibu menangisi lagi takdirku. Cukuplah aku
sahaja yang merasa sakit, aku tidak mahu ibu mengenanginya. Biarlah ibu
meneruskan hidup tanpa mengingati tragedi hitam itu.
Mayatku dijumpai tersadai di Sungai Tara oleh seorang
nelayan yang menjalankan rutin harian mencari rezeki. Mayatku sukar
dikenalpasti. Sisa mayat sebenarnya, hanya cebisan-cebisan yang tidak sempurna,
sudah menjadi makanan biawak dan haiwan yang lain dalam sungai itu. Tuhan
sahaja yang tahu perasaan sakit ini melihat jasad sendiri dalam keadaan
tersiksa.
Sisa mayatku di bawa ke hospital besar untuk dikenalpasti.
Di hospital itulah aku melihat ibu meraung. Di sisi ibu, adik yang tergamam.
Kedua-dua menangis melihat sisa mayat yang disahkan sebagai sebahagian tubuh
milikku. Ibu pengsan dalam papahan adik yang cuba bertenang walaupun air mata
banjir di pipinya. Aku hanya melihat dari jauh. Terasa sakit melihat orang
tersayang terpaksa melalui ujian ini. Ujianku? Tiada rasa yang dapat
menggambarkan apa yang telah aku alami. Terlalu perit.
Deringan telefon kedengaran dari dalam rumah. Air mata ku
kesat dan kembali masuk ke dalam. Kulihat ibu terkocoh-kocoh menjawab panggilan
itu. Kedengaran suara ibu merayu-rayu dengan sayu. Ibu merayu agar lelaki iblis
itu segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Aku tahu itu panggilan
daripada Inspektor Sabrina yang melaporkan perkembangan kes selanjutnya.
Ternyata lelaki iblis itu masih belum tertangkap. Sudah dua hari berlalu masih
tiada jejaknya. Penjenayah itu masih lagi bebas di luar sana. Mungkinkah
mencari mangsa yang baru? Cerita tragis yang seterusnya bakal terbit selagi dia
masih bebas! Masih selamatkah dunia ini untuk gadis-gadis di luar sana?
Aku harap kisahku yang menghiasi muka depan akbar tempatan
menjadi pengajaran. Cukuplah ia berlaku ke atas aku, jangan ada lagi mangsa
seterusnya. Pesanku, waspadalah setiap saat kerana di luar sana masih ada
binatang yang bertopengkan manusia. Ingatlah semua pesan ibu dan jadikan azimat
untuk di bawa ke mana-mana. Malang yang datang selalunya tak berbau.
Ingatan pada remaja khususnya muslimat di luar sana,kita
digalakkan bersangka baik tetapi di zaman fahsya' dan munkar ini, baik
macammana sekalipun kita perlu sentiasa hazar (berhati-hati) jangan letakkan
kepercayaan 100% terutamanya pada lelaki...