1. Meninggalkan janji melakukan sesuatu perkara kerana maslahah dan diikuti dengan membayar kafarah.
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda:
Sesiapa yang berjanji atas sesuatu, setelah itu dia melihat perkara lain lebih baik dari yang telah dijanjikannya, maka hendaklah dia membayar kafarah atas janji yang telah dilakukannya itu seterusnya dia melakukan perkara yang dilihatnya lebih baik itu.” – (HR Muslim dan al-Tirmizi)
2. Melakukan Sujud syukur ketika mendapat sesuatu yang disenangi atau terhindar dari sesuatu yang tidak disukai.
al-Baghawi menyebut dalam syarah sunnah 3/316:
Mafhumnya: “Sujud syukur adalah sunat ketika memperolehi sesuatu nikmat (kebaikan) yang telah lama dinantikannya, atau terhindar dari musibah yang dinantikan tersingkap.” Ibn al-Qayyim berkata di dalam Zad al-Ma’ad 1/360:
Adalah termasuk dari petunjuk baginda SAW dan para sahabat RA, melakukan sujud syukur ketika memperolehi nikmat yang menggembirakan atau terhindar dari musibah.
3. Mengucapkan tahniah kepada orang yang mendapat kebaikan agama atau duniawi.
Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan tentang kisah taubat Ka`ab ibnu Malik RA katanya:
Mafhumnya: “Talhah bin ‘Ubaidillah berdiri lalu datang dengan tergesa-gesa kepadaku lalu bersalaman dan mengucapkan tahniah kepadaku.”
Ibn al-Qayyim menyebut dalam Zad al-Ma`ad: “Dan di dalamnya dalil menunjukkan keharusan mengucapkan tahniah kepada sesiapa yang mendapat kebaikan agama, berdiri apabila berjumpa dan bersalaman dengannya. Ini adalah sunnah yang digalakkan.”
4. Menunaikan solat dua rakaat ketika bertaubat daripada dosa besar.
Daripada Asma binti al-Hakam al-Fizari daripada Ali RA, daripada Abu Bakar As-Siddiq RA bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tiadalah seseorang lelaki yang melakukan dosa, kemudian dia bangun berwuduk kemudian menunaikan solat – di dalam satu riwayat mengatakan solat dua rakaat – kemudian dia memohon keampunan daripada Allah melainkan Allah akan memberi keampunan kepadanya.”
5. Bersedekah ketika bertaubat
Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan kisah Ka`ab RA yang berkata:
Mafhumnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya termasuk dari taubatku, aku akan memberi sedekah dari hartaku ke jalan Allah dan rasulNya. Rasulullah bersabda: Simpanlah sebahagian dari hartamu itu, maka ia adalah lebih baik bagimu.”
Ibn al-Qayyim berkata di dalam Zad al-Ma’ad 3/585-586: Perkataan Ka`ab, Wahai Rasulullah sesungguhnya termasuk dari taubatku, bahawa aku akan memberi sedekah dengan hartaku, merupakan dalil sunatnya bersedekah ketika bertaubat dengan apa yang mampu dari harta.”
6. Bertakbir dan Bertasbih Ketika Kehairanan dan Keingkaran
Daripada Abu Hurairah RA katanya:
“Beliau pernah berjumpa dengan Nabi SAW di jalan-jalan di Madinah, sedangkan beliau berada dalam keadaan berjunub, lalu beliau berpaling dan pergi untuk mandi janabah, kemudian beliau mendapatkan Nabi SAW, ketika beliau sampai, baginda bertanya: Kemana engkau wahai Abu Hurairah? Beliau menjawab: Wahai Rasulullah, Engkau bertemu dengan ku, sedangkan aku dalam keadaan berjunub, lalu aku tidak suka untuk bersama denganmu dalam keadaan demikian sehingga aku mandi (janabah) terlebih dahulu. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Maha Suci Allah, sesungguhnya seorang muslim itu tudak najis.” - (HR al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Dan sesungguhnya aku, benar-benar mengharapkan kamu semua (umat baginda SAW) menjadi satu perempat dari ahli syurga” lalu kami bertakbir, kemudian baginda bersabda: “satu pertiga dari Ahli Syurga.” Lalu kami bertakbir, kemudian baginda bersabda: “Satu perdua ahli syurga.” Lalu kami bertakbir.” – (HR al-Bukhari dan Muslim)
7. Sunat menulis wasiat.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda
“Tidak patut bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan – di dalam riwayat yang lain – baginya ada sesuatu yang hendak diwasiatkan, untuk dia bermalam selama dua malam – dalam riwayat yang lain – selama tiga malam, melainkan wasiatnya tertulis di sisinya.”
8. Peminjam memulangkan lebih dari kuantiti dan kualiti apa yang dipinjamnya tanpa ada sebarang syarat yang terdahulu.
Daripada Abu Hurairah RA katanya:
“Dahulunya ada seorang lelaki yang meminjamkan Nabi SAW seekor unta dengan usia yang tertentu, suatu hari dia datang meminta dipulangkan semula unta yang dipinjam tersebut. Baginda bersabda: Berikan kepadanya, maka para sahabat mencari unta dengan usia tersebut, akan tetapi mereka tidak mendapatinya melainkan unta yang lebih besar usianya. Lalu baginda (SAW) bersabda: Berikan kepadanya. Kata lelaki itu: kamu telah memenuhi (membayar hutangmu) kepadaku, semoga Allah memenuhi (janjiNya) kepadamu.” Lalu Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang lebih baik di kalangan kamu adalah orang yang lebih baik dalam menunaikan hutang.” – (HR al-Bukhari)
Termasuk dari petunjuk Nabi S.A.W, baginda tidak menarik tangan ketika bersalaman sehingga orang lain yang terlebih dahulu menariknya.
Daripada Anas bin Malik RA katanya:
“Adalah baginda (SAW) apabila bersalaman dengan seseorang lelaki, baginda tidak akan menarik tangan, sehinggalah lelaki itu yang terlebih dahulu menarik tangannya.” – (HR Imam Muslim, Ibnu Majah, al-Baghawi dalam syarah sunnah dan Ibnu Hibban serta selain mereka. Hadith ini telah disahihkan oleh al-Albani di dalam kitab al-Silsilah as-Sahihah)
9. Mendahulukan kaki kanan ketika memakai kasut dan mendahulukan kaki kiri ketika menanggalkannya.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang dari kamu memakai kasut, maka mulakan dengan sebelah kanan, apabila hendak mencabutnya mulakan dengan sebelah kiri. Jadikan kaki kanan itu permulaan ketika memakai kasut dan yang akhir ketika menanggalkannya.” – (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam syarah Sahih Muslim 2/163: “Ini merupakan kaedah yang berterusan dalam syara`, setiap perkara yang termasuk di dalam bab menghormati dan memuliakan seperti memakai baju, seluar dan juga khuf, memasuki masjid, bersiwak, memakai celak, memotong kuku, memendekkan misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut, memberi salam dari solat, membasuh anggota ketika bersuci, keluar dari tandas, makan dan minum, bersalaman dan melakukan Istilam kepada Hajar al-Aswad, dan selainnya yang termasuk dalam maknanya (menghormati dan memuliakan), disunatkan memulakan dengan kanan. Adapun apa yang berlawanan denganya seperti memasuki tandas, keluar dari masjid, mengeluarkan lender (dari hidung), istinja’, membuka baju, seluar dan khuf, dan seumpamanya, disunatkan memulakan dengan kiri. Semua ini kerana disebabkan kemuliaan kanan dan Allahlah yang lebih mengetahui.”
10. Kadang-kadang berjalan tanpa memakai kasut
“Daripada Abdullah bin Buraidah, bahawasanya seorang lelaki dari kalangan sahabat Nabi SAW, pergi menemui Fadholah bin `Ubaid di Mesir. Ketika bertemu dengannya, lelaki itu berkata: Saya bukan datang untuk menziarahimu, akan tetapi saya mendengar bahawa saya dan anda pernah mendengar satu hadith dari Rasulullah SAW, saya berharap anda memiliki maklumat tentangnya. Fadholah berkata: apakah perkara itu? Lelaki itu berkata: demikian dan demikian, lalu dia berkata lagi: mengapa saya melihat keadaan kamu tidak terurus, sedangkan kamu adalah pemimpin di tanah ini? Fadholah menjawab: sesungguhnya Rasulullah SAW melarang kami daripada banyak berhias. Lelaki itu bertanya lagi: aku melihat kamu tidak memakai kasut. Fadholah menjawab: Nabi SAW pernah menyuruh kami agar tidak memakai kasut sekali-sekala.”
11. Menghalang kanak-kanak keluar rumah ketika maghrib dan menutup bekas makanan dan minuman pada waktu malam.
Daripada Jabir bin Abdullah RA katanya:
Rasulullah SAW bersabda:
Sekiranya hampir waktu malam, maka halanglah anak-anak kamu (dari keluar rumah), kerana sesungguhnya syaitan bertebaran pada ketika itu.”
12. Membiarkan tubuh badan terkena air hujan ketika hujan turun
Daripada Thabit al-Banani, daripada Anas RA yang berkata:
“Kami pernah dituruni hujan ketika bersama dengan Rasulullah SAW, beliau (Anas) berkata: Maka Rasulullah SAW membuka sebahagian dari bajunya agar terkena air hujan. Lalu kami bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, kenapa Rasulullah berbuat demikian? Baginda menjawab: Kerana ia baru diciptakan oleh Allah taala.” – (HR Muslim)
Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam syarahnya 3/464: “Pada hadith ini adanya petunjuk terhadap pandangan sahabat kami yang mengatakan sunat ketika hujan baru turun untuk membuka anggota yang bukan aurat supaya disentuh air hujan tersebut, dan mereka berdalilkan dengan hadith ini, padanya juga menunjukkan seseorang yang mafdhul (yang dilebihkan), jika melihat dari seseorang al-Fadhil (yang mememiliki kelebihan) sesuatu yang tidak diketahuinya, hendaklah dia bertanya tentang perkara tersebut, agar orang itu mengajarkan kepadanya, sehingga dia boleh mengamalkannya dan mengajarkan pula kepada orang lain.
13. Menziarahi masjid Quba dan menunaikan solat di dalamnya setiap minggu
Daripada Nafi`, daripada Ibnu Umar RA:
“Bahawa Rasullullah SAW menziarahi Masjid Quba dengan menaiki tunggangan atau dan berjalan kaki.” Di dalam riwayat yang lain: Adalah Rasullullah SAW menziarahi masjid Quba dengan menaiki tunggangan dan berjalan kaki, dan baginda akan menunaikan solat dua rakaat didalamnya.”
Dalam riwayat daripada Abdullah bin Dinar, bahawa Ibnu Umar sentiasa pergi ke Masjid Quba’ pada setiap hari sabtu dan beliau berkata:
“Saya melihat Nabi SAW pergi ke Masjid Quba pada setiap hari Sabtu.”
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment