Jam dinding menunjukkan pukul 5 petang. Si suami yang baru saja pulang daripada tempat kerja kelihatan kepenatan. Selepas melepaskan lelah di atas sofa dan menghilangkan dahaga dengan segelas air yang dibawa isterinya, si suami segera membersihkan diri. Sudah lebih lima bulan dia dan wanita pilihannya itu berumah tangga.
Bagi si suami, perkahwinannya adalah satu kebahagiaan. Isterinya adalah penyejuk mata yang senantiasa membuatkan hatinya gembira dan tabah dalam menjalani kehidupan. Begitu juga perasaan si isteri. Namun, bahtera mana yang tidak dilanda badai. Bak kata pepatah juga, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Tanpa disedari si suami, dalam diam-diam perasaan si isteri sebenarnya sedang bergolak. Ada sesuatu yang terpedam jauh dalam dasar hatinya.
Pada malam itu, si isteri berfikir sudah tiba masanya untuk dia meluahkan apa yang dirasanya kepada sang suami. Sebaik saja selesai makan malam, sambil berehat-rehat di beranda rumah. Si isteri berkata kepada suaminya, “Benarkah abang cintakan sayang?”
“Mengapa sayang cakap begitu?” Si suami terkejut. Patutlah dia melihat wajah isterinya semenjak pulang kerja tadi, seperti ada yang tidak kena.
“Sayang rasa abang tidak cintakan sayang.” Luah si isteri dengan tulus. Bukan ingin mencari masalah, bukan ingin apa-apa. Tujuan luahannya, tidak lain adalah mengharapkan pengertian daripada si suami.
Si suami kelihatan sedikit kaget. Apakah kesalahan besar yang telah dilakukannya sehingga dipacul kata-kata sebegitu daripada lisan isterinya?
“Mengapa pula sayang berkata begitu? Kalau abang tidak sayangkan sayang, tidaklah abang berkahwin dengan sayang dahulu. Tidakkah sayang nampak segala pengorbanan yang selama ini lakukan untuk sayang?” ujar si suami. Dia mendekati si isteri, lalu digenggam erat tangan penyejuk matanya itu. Direnung mata isterinya dalam-dalam.
“Bukan itu maksud sayang.” Si isteri tertunduk dengan pandangan yang jatuh ke lantai.
Si suami berkata kehairanan, “Jadi apa sebenarnya yang sayang hendak maksudkan?”
“Sayang lihat abang tidak cintakan sayang seadanya. Abang selalu tegur sayang buat ini dan itu. Ada saja perbuatan sayang yang abang komen.” Luah si isteri dengan nada suara yang sedikit takut. Bimbang kata-katanya akan melukakan hati suaminya, sedangkan bukanlah itu niat sebenarnya.
“Adakah sayang rasa perbuatan menegur sayang selama ini adalah salah?” si suami inginkan penjelasan.
“Bukankah tanda cintanya seseorang itu kepada kita adalah seseorang itu dapat menerima kita seadanya, kelemahan dan kekurangan yang ada pada dirinya?” tanya si isteri sambil mengangkat pandangannya tepat ke wajah suaminya.
“Ya, betul.”
“Abang pernah tulis perkataan itu di Facebook abang bukan, masa kita mula-mula kahwin dahulu?” tanya si isteri lagi.
“Ya, abang masih ingat.”
“Tapi sepertinya apa yang abang tulis itu hanya sekadar tulisan, sedangkan abang sendiri tidak begitu menghayati apa yang abang tuliskan itu. Sayang lihat, abang tidak mampu terima kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri sayang.” Ujar si isteri seraya memalingkan kepalanya ke arah lain. Ada sebak di dadanya yang bergelora.
Si isteri berkata lagi, “Sudah beberapa bulan sayang bergelar isteri abang, sayang harap abang dapat terima kekurangan yang pada diri sayang, tetapi apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Ada saja yang abang luahkan untuk mengubah perkara yang ada dalam diri sayang.”
“Bukankah abang terima kekurangan sayang selama ini?” tanya si suami.
Si isteri tersentak mendengar kata-kata suaminya. Dia sedar keadaan dirinya, dengan perlahan dia berkata, “Ya, sayang sedar, abang. Terima kasih kerana sudi terima sayang sebagai penyeri hidup abang, walaupun sayang ini selalu saja sakit disebabkan antibody sayang yang lemah, tetapi bukan itu yang sayang maksudkan. Apa yang sayang maksudkan di sini adalah penerimaan abang terhadap sikap sayang.”
Mendengar ucapan itu, fahamlah si suami punca isterinya bermuram durja sedemikian rupa. Si suami tersenyum, dan dengan tenang dia berkata, “Isteriku, memang benar tanda cinta itu adalah kita menerima kekurangan yang ada pada diri pasangan kita seadanya. Tetapi sebagai insan yang mempunyai perasaan cinta kita perlu faham, adakalanya dengan mengubah itulah tersiratnya pengertian cinta yang sebenarnya. Tidak semestinya mengubah itu bermakna seseorang tidak mencintai pasangannya. Dalam dunia cinta, kita perlu faham, kekurangan bagaimana yang perlu kita terima seadanya.”
“Maksud abang?” isterinya tertanya-tanya.
“Seandainya kekurangan yang dimaksudkan itu adalah kekurangan yang ada pada zahir, seperti wajah pasangan kita yang tidak secantik artis, kerana adanya kecacatan pada wajah, atau anggota, maka itu perlulah kita terima seadanya.” Jelas si suami sambil mengusap tangan isterinya.
Si suami berkata lagi, “Tetapi sekiranya kekurangan yang ada pada kelakuan, maka kita perlu mengubahnya semampunya, apatah lagi bila kekurangan pada kelakuan itu bercanggah dengan syariah Islam. Sebagai contohnya, seorang isteri atau suami yang selalu meninggalkan solat, selalu mengumpat dan berkata yang sia-sia, atau berhias di hadapan lelaki ajnabiah. Maka kekurangan seperti ini kita perlu ubah, kerana ianya adalah kewajipan menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.”
Si isteri terdiam mendengar penerangan si suami, lalu tertunduk.
“Adakah seorang isteri atau suami boleh disebut sebagai menyayangi pasangannya, dengan membiarkan pasangan melakukan kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah s.w.t? Sayangkah seorang suami atau isteri kepada pasangannya andai dia membiarkan pasangannya bergelumang dengan dosa yang membuatkan pasangannya tercampak ke dalam neraka?” tanya si suami dengan bijaksana.
“Maafkan abang sayang. Nampaknya sayang sudah salah faham kepada abang. Sayang sudah berdosa pada abang. Sayang minta maaf.” Jawab si isteri dengan suara sebak. Ada air jernih yang hangat mengalir daripada kedua kelopak matanya. Cepat-cepat ditarik tangan suami, lalu diciumnya memohon kemaafan. Dia merasa bersalah atas luahan rasanya sebentar tadi.
Si suami hanya tersenyum tenang. Dia berkata kepada isterinya yang tercinta, “Abang sudah maafkan sayang. Apa yang abang tegur selama ini kerana itu adalah tanggungjawab abang sebagai seorang suami. Allah s.w.t telah berfirman dalam Al-Qur’an, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada azab api neraka. Bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu. Penjaganya adalah malaikat yang kasar lagi bengis, mereka tidak melanggar perintah Allah ke atas mereka, dan mereka lakukan apa yang disuruh.” (Surah At-Tahrim: ayat 6). Paling penting, semuanya kerana abang cintakan sayang.”
Adakalanya dalam mengubah itu tersirat pengertian cinta yang sebenarnya. Namun, harus ingat, ubahlah kekurangan itu secara bijaksana...
No comments:
Post a Comment