Kisah Cinta Hatib Dan Ummi Qais (Niat kerana....)
Sekali peristiwa, diceritakan bahawa ada seorang sahabat
yang bernama Hatib telah mencintai seorang gadis rupawan yang bergelar Ummi
Qais. Sebagai kebiasaannya orang yang bercinta, Hatib berusaha agar si gadis
itu dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummi Qais sewaktu mereka sama-sama
berada di Makkah lagi, akan tetapi, oleh kerana kemalangan nasibnya, gadis itu
telah menolak peminangan Hatib. Kemudian Ummi Qais pun berhijrahlah pula
bersama-sama orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah.
Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Hatib, dia merasa
amat berdukacita. Oleh kerana terlalu merindukan Ummi Qais, Hatib lalu
mengambil keputusan untuk berhijrah menjejaki langkah Ummi Qais ke Madinah,
dengan harapan agar dia dapat memikatnya dan memujuknya semula sewaktu di
Madinah nanti.
Jadi nyatalah sudah bahwa hijrahnya Hatib itu bukanlah
semata-mata kerana tujuan asal berhijrah ke sana; iaitu untuk mencari tempat
perlindungan bagi agamanya. Tetapi di sebalik itu, ada maksud yang lain yang
lebih diutamakannya; iaitu moga-moga ia dapat menukar keputusan Ummi Qais yang
lalu dan moga- moga Ummi Qais akan menerimanya pada kali ini, sebab hatinya
sangat sayang dan mencintai Ummi Qais.
Cerita hijrahnya Si Hatib sepenuhnya telah disampaikan
kepada pengetahuan Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Oleh kerana itulah,
maka Hadith ini telah disabdakan, iaitu:
"Hanyasanya amalan-amalan itu adalah bergantung dengan
niat-niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang
diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka
hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya
kerana dunia (sebab- sebab keduniaan) yang ia ingin memperolehinya, ataupun
kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya maka hijrahnya itu adalah
kepada apa yang ia berhijrah kepadanya." [Bukhari & Muslim]
Maksudnya: Tiadalah ia mendapat pahala apa pun dari hijrah
yang telah ia lakukan itu. Sebab orang lain berhijrah membawa dirinya dan agamanya
agar terselamat dan fitnah kekufuran yang mengancamnya di negeri Makkah,
semata-mata kerana mentaati perintah Allah dan RasulNya. Akan tetapi maksud
utama hijrah Hatib ada yang lain; iaitu keinginan hati untuk menawan Si gadis
kecintaannya, sebab itu Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam telah mencelanya
secara tidak langsung dengan menyabdakan Hadith tersebut di atas tadi.
Bagi kita kaum Muslimin yang mengikuti cerita Hatib tadi,
janganlah dianggap celaan itu hanya ditujukan untuk Hatib seorang saja.
Bukanlah itu yang dimaksudkan. Akan tetapi di sebalik peristiwa Hatib itu ada
pengajaran lain yang harus kita perhatikan, supaya kita tidak menjadi seperti
Hatib pula, sehingga celaan itu akan menimpa kita sama.
Dalam menjalankan perintah-perintah agama, janganlah
hendaknya kita menyaingi ibadat-ibadat kita itu dengan kerja-kerja lain yang
berkaitan dengan keduniaan. Misalnya ibadah Haji. Ada orang yang menyaingi
ibadat Hajinya dengan kerja-kerja keduniaan, seperti berniaga sewaktu dalam
perjalanan ke Haji, atau dalam musim Haji, kerana keuntungannya berlipat-ganda
ketika itu. Ataupun orang itu sengaja menawarkan dirinya untuk menguruskan
hal-ehwal orang-orang Haji tentang keperluan-keperluannya dalam perjalanan atau
sewaktu mengerjakan Haji itu, sebab seolah-olah dia bekerja dengan bakal-bakal
Haji itu, dan mungkin sekali semua wang pelayarannya pun dikutip dan berasal
dari bakal-bakal Haji itu samada sebagai komisen ataupun faedah pekerjaannya,
yang kalau tiada kerana itu,tiadalah ia akan berangkat sama untuk menunaikan
Hajinya. Amalan yang serupa ini tentu sekali tiada sepenuhnya tertumpu pada
Pekerjaan ibadat terhadap Allah. Oleh kerana itu dikhuatiri tidak ada gunanya
dan tidak ada pahalanya dari Allah subhanahu wa ta`ala.
Untuk menentukan samada ibadat kita itu 100% kerana Allah
atau tidak, tanyalah diri kita sendiri secara jujur dan bukan secara helah atau
putar-belit, nescaya kita akan mendapati jawapannya yang betul. Seterusnya,
Hadith ini, walaupun ditujukan khas kepada Hatib kerana niatnya yang telah
menyeleweng dari tujuan asalnya, namun hukumnya umum ditujukan kepada seluruh
kaum Muslimin, walaupun sebabnya yang pertama kerana Si Hatib tadi. Sebab
Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam tidak pernah menujukan sesuatu kecelaan
atau kemarahannya terhadap seseorang yang tertentu. Bahkan pengisytiharannya
sentiasa umum untuk menjadi pengajaran kepada kaum Muslimin yang lain.Selain
itu, Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam adalah pemalu orangnya dan tidak
pernah menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi untuk membocorkan rahsia
orang di hadapan khalayak ramai, itu tentulah jauh sekali.
WaAllahu A'lam...
No comments:
Post a Comment