Pertanyaan Yahudi tentang Solat
dan Puasa
Ali bin Abi Talib r.a. berkata,
"Sewaktu Rasullullah saw duduk bersama para sahabat Muhajirin dan Ansar,
maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata,
'Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah
diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. yang tidak diberikan kecuali kepada
para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.' Lalu Rasullullah saw bersabda,
'Silakan bertanya.'
Berkata orang Yahudi, 'Sila
terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas
umatmu.' "Sabda Rasullullah saw, 'Solat Zuhur jika tergelincir matahari,
maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Tuhannya. Solat Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam
a.s.memakan buah khuldi.Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat
Nabi Adam a.s. Maka setiap mukmin yang bersolat Maghrib dengan ikhlas dan
kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan
mengkabulkan permintaannya. Solat Isyak itu ialah solat yang dikerjakan oleh
para Rasul sebelumku. Solat Subuh adalah belum terbit matahari. Ini kerana
apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ
sujudnya setiap orang kafir.'
Setelah orang Yahudi mendengar
penjelasan dari Rasullullah saw, lalu mereka berkata, 'Memang benar apa yang
kamu katakan itu Muhammad. Katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan
didapati oleh orang yang solat. 'Rasullullah saw bersabda, 'Jagalah waktu-waktu
solat terutama solat yang pertengahan. Solat Zuhur, pada saat itu nyalanya
neraka Jahanam. Orang-orang mukmin yang mengerjakan solat pada ketika itu akan
diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.' Sabda
Rasullullah saw lagi, 'Manakala solat Asar, adalah saat di mana Nabi Adam a.s.
memakan buah khuldi. Orang-orang mukmin yang mengerjakan solat Asar akan
diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.' Selepas itu Rasullullah saw
membaca ayat yang bermaksud, 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali solat
yang pertengahan. Solat Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam
a.s.diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan solat Maghrib kemudian
meminta sesuatu daripada Allah, maka Allah akan perkenankan.' Sabda Rasullullah
saw, 'Solat Isyak (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu
juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap
untuk pergi menunaikan solat Isyak berjamaah, Allah SWT haramkan dirinya
daripada terkena nyala api neraka dan diberikan kepadanya cahaya untuk
menyeberangi Titian Sirath.' Sabda Rasullullah saw seterusnya, 'Solat Subuh
pula, seseorang mukmin yang mengerjakan solat Subuh selama 40 hari secara
berjamaah, diberikan kepadanya oleh Allah SWT dua kebebasan iaitu:
a) Dibebaskan daripada api neraka
b) Dibebaskan dari nifaq.
"Setelah orang Yahudi
mendengar penjelasan daripada Rasullullah saw, maka mereka berkata,'Memang
benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (saw). Kini katakan pula kepada
kami semua, kenapakah Allah SWT mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?' Sabda
Rasullullah saw, 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon khuldi yang dilarang,
lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam a.s. selama 30 hari. Kemudian
Allah SWT mewajibkan ke atas keturunan Adam a.s. berlapar selama 30 hari.
Sementara diizin makan di waktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah SWT
kepada makhluk-Nya.'
Kata orang Yahudi lagi,'Wahai
Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami
mengenai ganjaran pahala yang diperolehi daripada berpuasa itu.' Sabda
Rasullullah saw, 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan
ikhlas kepada Allah SWT, dia akan diberikan oleh Allah SWT 7 perkara:
a) Akan dicairkan daging haram yang
tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh daripada makanan yang haram).
b) Rahmat Allah sentiasa dekat
dengannya.
c) Diberi oleh Allah sebaik-baik
amal.
d) Dijauhkan daripada merasa
lapar dan dahaga.
e) Diringankan baginya siksa
kubur (siksa yang amat mengerikan).
f) Diberikan cahaya oleh Allah
SWT pada hari Kiamat untuk menyeberang Titian Sirath.
g) Allah SWT akan memberinya
kemudian di syurga.'
Kata orang Yahudi, 'Benar apa
yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan kepada kami kelebihanmu di antara semua
para nabi.' Sabda Rasullullah saw, 'Seorang nabi menggunakan doa mustajabnya
untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya
gunakan memberi syafaat kepada umat saya di hari kiamat).' Kata orang Yahudi,
'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Kini kami mengakui dengan ucapan
Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada
Tuhan melainkanAllah dan engkau utusan Allah).'
No comments:
Post a Comment