Saya takkan ampunkan dia sampai
mati!!
Saya bekerja tetap tahun 70-an,
oleh kerana saya daripada keluarga susah, ramai adik-beradik, maka saya amat
sayangkan kerja. Saya bekerja tak tentu masa kerana terlalu gembira dengan
tugas, sesuatu yang saya idam-idamkanselama ini.
Walaupun saya mendapat tawaran ke
U tetapi saya tolak, sebab keluarga miskin, jadi saya berkorban supaya saya
boleh bekerja dapat duit, bantu ayah sekolahkan adik-adik. Saya bersyukur semua
adik-beradik saya berjaya dalam pelajaran, lulusan U dan semuanya memegang
jawatan yang baik juga.
Biarpun saya tidak lulus U tetapi
kerana dedikasi dan ketekunan bekerja, saya naik pangkat dan menjawat jawatan
yang baik. Ini balasan Allah daripada pengorbanan besar yang saya lakukan demi
pelajaran adik-adik saya.
Kerana terlalu sayangkan kerja,
saya terlupa usia semakin meningkat dan tak kahwin. Hidup saya cuma rumah dan
tempat kerja saja. Sebelum pukul 8 saya dah mula bekerja dan balik pukul 6
petang ada kalanya lewat malam. Dan bila kerja banyak ada kalanya sampai pagi.
Hari Ahad dan Sabtu sama saja. Ada satu ketika rutin ini berterusan hingga 114
hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum, hingga risau ibu di kampung.
Saya hanya lulus MCE, tetapi
nasib menyebelahi saya. Jawatan kerajaan yang dipegang adalah idaman ramai.
Pendapatannya lumayan bagi seorang bujang umur 20-an, dapat kereta baru, dan
dihormati ramai, tentu glamor juga di mata gadis-gadis.
Tetapi kerana taksub dengan
kerja, saya lupa dunia, hiburan dan hidup berkeluarga. Akhirnya ketua jabatan,
seorang pengarah merancang konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu
melihat hidup saya habis di pejabat.
Awal tahun 70-an usia dah dekat
30 tahun masih bujang. Di pejabat, saya digelar the most eligible bachelor.
Konspirasi mereka menjadi, mereka memaksa saya berkahwin dengan seorang gadis
yang boleh dikatakan cantik juga.
Anak ulama daripada keluarga agak
tersohor dan dikenali secara peribadi oleh ketua jabatan saya. Hampir setahun
berkenalan, akhirnya saya mendirikan rumah tangga dengan Hamizan.
Belum dua tahun berkahwin, Hamizan
melahirkan anak, disusuli seorang lagi tiga tahun kemudian dan ketiga, lima
tahun kemudian. Dalam pada itu saya dinaikkan pangkat, melayakkan saya
menduduki banglo kuarters kerajaan di KL. Saya juga dianugerahkan bintang
kebesaran Persekutuan, semua dalam tempoh kurang 13 tahun saya bertugas.
Hamizan bekerja di sebuah badan
berkanun. Dia gemar bersukan apa jenis pun dan aktif berpersatuan. Rajin
menyertai kegiatan kesenian dan kebudayaan, seperti menari dan berdrama.
Kebolehannya ini membawanya ke seluruh negara dan ASEAN dalam misi mengeratkan
silaturahim antara badan-badan yang sama antara negara tersebut.
Kerana aktif berpersatuan, dia
sering pulang lewat selepas pukul 8 malam dan kadangkala sehingga pukul 10
malam. Saya tidak merasa syak-wasangka kerana kami diketahui ramai sebagai
pasangan ideal. Tetap bergurau senda, berpegang tangan semasa berjalan dan
tidak kurang menunjukkan affection pada bila-bila masa. Kami saling
sayang-menyayangi.
Suatu hari lebih kurang sedekad
lalu, seorang hamba Allah menelefon saya dan bertanya mengapa saya biarkan
isteri diusung orang merata tempat. Saya jadi bingung kerana selama ini Hamizan
tidak menunjukkan sebarang tanda dia curang selain pulang lewat. Sungguhpun
saya sangsi cerita pemanggil itu, namun hati saya mula curiga. Saya bawa
bertenang, dan tidak terburu-buru menyergah Hamizan. Saya cuba siasat sendiri.
Suatu hari saya pulang pukul 3
pagi, dengan kehendak Allah jua saya ternampak bukti pertama sebuah diari di
sebelah Hamizan, ketika itu dia tertidur. Hampir pitam saya bila membelek diari
itu. Rupa-rupanya dia keluar masuk hotel dengan teman-teman lelakinya, termasuk
orang berpangkat tertinggi di jabatannya, juga berpangkat rendah.
Bila diajukan dengan bukti
Hamizan tidak dapat mengelak daripada mengakuinya. Dia menceritakan
segala-galanya, termasuk kecurangannya. Mahu saya cekik dia ketika itu. Tapi
ingatkan anak-anak dan maruah keluarga, saya mengucap berkali-kali. Ketika itu
anak-anak sedang membesar dan pencapaian pelajaran mereka amat menggalakkan.
Mengenangkan masa depan mereka, saya tidak bertindak. Kalau dulu saya berkorban
untuk adik-beradik, kali ini saya berkorban untuk anak-anak, maruah mereka dan
keluarga saya.
Walaupun marah, namun saya beri
amaran keras bahawa sekiranya perbuatan ini berulang lagi padahnya amat berat.
Dia menangis meminta ampun.
Malangnya pisang berbuah banyak
kali. Hamizan mengulangi kegiatannya meskipun tidak lagi pulang lewat. Kali ini
saya menemui bukti setelah menerobos masuk ke e-melnya. Kali ini temannya
seorang jurutera sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang jeneral yang pernah
dikenali semasa remaja. Saya tak mahu marah lagi, kerana inilah sifat buruknya
yang sebenar. Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada apa-apa.
Namun untuk meyakinkannya saya
hubungi teman-temannya itu, dan berjaya mendapatkan pengakuan bertulis mereka,
ada juga secara lisan. Saya beritahu mereka perbuatan mereka akan ada
balasannya, tiada statute of limitation, bermakna balasannya mungkin serta-merta,
lepas lima tahun atau 20 tahun, bila-bila saja. Allah maha besar.
Apa yang menghairankan saya,
Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia anak ulama, pandai mengaji al-Quran
kalau berlagu ala qari terkenal Ismail Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat
dari dulu sampai sekarang, sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah
tinggal, bertudung, pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya. Setelah
difikirkan baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata saya
daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan di luar.
Walaupun saya begitu marah tetapi
memukul tidak sekali-kali. Saya bawa bertenang kerana memikirkan anak-anak kami
ketika itu sedang membesar. Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam kehidupan
saya, belum berakhir. Satu hari anak kedua saya Nuraine yang melanjutkan
pelajaran dalam bidang kejuruteraan di IPTA pulang bercuti. Sampai di rumah dia
terus memeluk saya dengan tangisan. Katanya, dia bukan anak saya. Darah kami
berlainan.
Saya terkejut besar. Bila saya tanya
mana dia tahu, katanya ketika menderma darah dia dapati jenis darahnya tidak
ada persamaan dengan darah saya. Saya langsung tidak terfikir kecurangan
Hamizan sampai ke tahap ini.
Hamizan ketika ditanya menafikan,
namun ujian darah membuktikan bahawa Nuraine adik-beradik dengan anak-anak saya
yang lain, satu emak tetapi lain ayah. Hamizan tetap berdegil tidak mengakui
kesahihan ujian tersebut, meskipun saya dapat agak siapa sebenarnya ayah
Nuraine.
Malah pernah rakan-rakan
sepejabat Hamizan ada mengatakan wajah Nuraine sama seperti salah seorang
pegawai tinggi di pejabatnya. Tetapi Hamizan menafikan. Bukan sekali dua wajah
Nuraine menjadi pertanyaan ramai, banyak kali.
Hamizan kini masih sebumbung
dengan saya, tetapi saya tidak pernah menyentuhnya sejak hampir 10 tahun lalu.
Anak-anak tidak menghormatinya lagi. Mereka enggan bertegur sapa, tidak
bercakap sopan, kalau bercakap pun dengan kasar, membuatkan Hamizan menangis.
Anak-anak tahu perbuatan keji
emak mereka dan tahu pengorbanan saya demi menjaga hati, maruah dan
pembelajaran mereka. Anak sulung saya kini star-performer di jabatannya.
Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di Eropah sementara anak ketiga akan
tamat pengajian tidak lama lagi. Inilah pengorbanan saya. Biar hati lebur asal
anak-anak bahagia.
Yang penting saya tidak mahu
korbankan masa depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan
rasa saya.
Nuraine hampir setiap hari
menelefon saya bertanya khabar. Anak-anak lebih sayangkan saya dan lebih suka
berbincang dan berbual dengan saya daripada emak mereka. Inilah sebabnya saya
masih tidak menceraikan Hamizan.
Saya tetap tidak mengampunkan
Hamizan. Biar dia nazak dan meminta maaf atau saya sedang nazak dan dia sujud
menangis meminta ampun, saya tetap tidak akan memaafkannya. Saya tahu Allah
Maha Pengampun, Nabi Muhammad juga mengampunkan umatnya. Namun, saya bukan
Allah dan saya juga bukan Nabi Muhammad. Saya seorang biasa dan tidak akan
melakukan sesuatu untuk menyamai Allah atau Nabi.
Ada saya terbaca bahawa ibadah
seseorang isteri tidak diterima Allah sekiranya dia melakukan dosa besar
terhadap suaminya dan tidak mendapat pengampunan daripadanya. Jika benar, saya
tidak akan mengampunkan apa juga dosa Hamizan. Sungguh saya tidak menyangka
kebahagiaan, kesenangan, kesetiaan dan kepercayaan yang saya curahkan kepada
dia disia-siakan.
Kalaulah membunuh bukan satu
kesalahan dan tidak membawa aib kepada keluarga, sudah lama saya
cincang-cincang Hamizan untuk menjadi jamuan anjing-anjing liar di tepi jalan
dengan daging busuknya, demikian cerita Zain.
Nampaknya Zain telah melakukan
pengorbanan besar bukan sahaja untuk adik-beradiknya, anak-anaknya malah
menjaga nama baik dan maruah mentuanya. Namun saya tertanya-tanya apakah Zain
sudah bertanya kehendak Hamizan untuk masa depannya? Mungkin dia ingin menjadi
burung yang terbang bebas? Kepada pembaca, dapatkah anda pertimbangkan jika
mempunyai isteri yang curang seperti ini?
No comments:
Post a Comment