Ketahuilah bahawa bencana dahsyat, perbuatan yang paling
buruk, dan aib adalah berpunca daripada kurangnya perhatian masyarakat terhadap
mengerjakan ibadah solat lima waktu, solat Jumaat, solat jemaah dan solat sunat
yang lainnya.
Pada hal semua itu adalah ibadah yang dengannya Allah SWT
meninggikan darjat dan menghapuskan dosa maksiat seseorang. Ibadah solat adalah
cara ibadah seluruh penghuni langit dan bumi.
Cuai kerana urusan dunia
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Langit merintih dan memang ia patut merintih, kerana pada
setiap tempat untuk berpijak terdapat malaikat yang bersujud atau berdiri
(solat) kepada Allah Azzawajalla.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Orang yang meninggalkan ibadah solat kerana cuai oleh urusan
dunia akan malang nasibnya, berat seksaannya, rugi perdagangannya, besar
musibahnya, dan panjang penyesalannya. Firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya bagi orang
yang beriman.”(An-Nisa : 103)
Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Selepas Isyak aku bersama
Umar bin Khattab ra pergi ke rumah Abu Bakar as-Siddiq untuk suatu keperluan.
Sewaktu melalui pintu rumah Rasulullah SAW, kami mendengar suara rintihan. Kami
pun berhenti sejenak. Kami dengar beliau menangis dan meratap: “Ah…andaikan
saja aku dapat hidup terus untuk melihat apa yang diperbuat oleh umatku
terhadap solat. Ah…aku sungguh menyesali umatku.”
Rasulullah menangis
“Wahai Abu Hurairah, mari kita ketuk pintu ini,” kata Umar
dan kemudian mengetuk pintu. “Siapa?” tanya Aisyah. “Aku bersama Abu Hurairah.”
Kami meminta izin untuk masuk dan beliau mengizinkannya. Setelah masuk, kami
lihat Rasulullah SAW sedang bersujud dan menangis sedih, beliau berkata dalam
sujudnya: “Wahai Tuhanku, Engkau adalah pengawalku bagi umatku, maka
perlakukanlah mereka sesuai dengan sifat-sifat-Mu dan jangan perlakukan mereka
sesuai perbuatan mereka.”
“Ya Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu. Apa
gerangan yang terjadi, mengapa engkau begitu sedih?”
“Wahai Umar, dalam perjalananku ke rumah Aisyah selepas
mengerjakan solat di masjid, Jibril mendatangiku dan berkata: “Wahai Muhammad,
Allah Yang Maha Benar mengucapkan salam kepadamu, kemudian ia berkata,
bacalah.” “Apa yang harus kubaca?” “Bacalah firman Allah yang bermaksud: “Maka
datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan
menurutkan hawa nafsunya, mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maryam : 59).
“Wahai Jibril, apakah sepeninggalanku nanti umatku akan
mencuaikan solat?”
“Benar, wahai Muhammad, kelak di akhir zaman akan datang
sekelompok manusia daripada umatmu yang mencuaikan solat, mengakhirkan solat
(hingga keluar dari waktunya), dan menurutkan hawa nafsu. Bagi mereka satu
dinar lebih berharga daripada solat.” (Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Umar).
Abu Darda’ berkata: “Hamba Allah yang terbaik adalah yang
memperhatikan matahari, bulan dan awan untuk berzikir kepada Allah, yakni untuk
mengerjakan solat.” Diriwayatkankan pula bahawa amal yang pertama kali
diperhatikan oleh Allah ialah solat. Jika solat seseorang cacat, maka semua
amalnya akan ditolak.
Perintah ahli keluarga bersolat
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Abu Hurairah,
perintahkanlah keluargamu untuk solat, kerana Allah akan memberimu rezeki dari
arah yang tidak pernah kamu duga.”
“Barang siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka ia
telah kafir.” (Riwayat al-Bazzar dari Abu Darda’). Sabda Rasulullah SAW lagi
bermaksud: “Barang siapa bertemu Allah sedang ia mencuaikan solat, maka Allah
sama sekali tidak akan mempedulikannya.” (Riwayat Tabarani).
No comments:
Post a Comment