Pernah suatu ketika, Nabi SAW mengunjungi rumah seorang
sahabat bernama Sa'ad bin Ubadah. Setibanya di muka pintu Baginda mengucapkan
salam. Sa'ad menjawab salam Baginda dari dalam tetapi dengan suara yang
perlahan. Nabi tidak mendengarnya lalu memberi salam lagi sehingga tiga kali.
Apabila mendapati salamnya tidak berbalas, Baginda berpaling
untuk beredar. Sa'ad segera keluar mendapatkan Baginda. Katanya,
"Wahai Rasululullah, demi Allah aku telah mendengar dan
menjawab salammu. Cumanya aku menjawab dengan suara yang perlahan. Aku mahu
kamu mengulangi ucapan salam sejahtera itu agar bertambah keberkatannya
untukku."
Lihatlah adab Nabi SAW bersama para Sahabat. Baginda
mengunjungi rumah para Sahabat, mengetuk pintu, memberikan salam, menunggu dan
beredar apabila salam tidak dijawab. Walaupun begitu tinggi kedudukan Baginda
di sisi Allah, namun tidak dirasakan dirinya istimewa berbanding manusia yang
lain.
Fiman Allah SWT yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu masuk
rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada
penghuninya.".
(Surah an-Nur ayat 27)
Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam tafsirnya menyebut bahawa menjadi
satu budaya bagi masyarakat Arab Jahiliah apabila mengunjungi rumah seseorang,
mereka akan terus masuk ke rumah dan berkata, "Aku telah datang!"
Suasana ini kurang disenangi kerana ia boleh memalukan tuan rumah atau tuan
rumah mungkin bersama keluarga dan tidak bersedia untuk menerima kehadiran
tetamu.
Oleh itu antara adab yang dianjurkan ketika kita berziarah
ialah:
1. Mengetuk pintu rumah tiga kali dengan sederhana. Boleh
ditambah sekiranya yakin bahawa tuan rumah tidak mendengar ketukan tadi.
Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW berpesan,
"Jika seorang daripada kamu meminta izin sebanyak tiga
kali dan tidak diizinkan maka hendaklah dia pulang".
(Riwayat Abu Daud)
Para Sahabat sangat berhati-hati apabila mengetuk pintu
rumah Nabi SAW. Mereka akan menggunakan hujung kuku mereka kerana menjaga adab
dengan Nabi.
2. Menyatakan nama sebenar.
Nabi sangat membenci orang yang tidak memperkenalkan dirinya
ketika mengetuk pintu. Begitu juga orang yang memperkenalkan dirinya dengan
'aku'. Jabir r.a. pernah datang ke rumah Nabi SAW untuk menjelaskan hutang
ayahnya. Dia mengetuk pintu kemudian Nabi bertanya, "Siapa kamu?"
Katanya, "aku." Kata Nabi, "aku! aku!" Seolah-olah Baginda
tidak menyukai ucapan sebegitu.
3. Tidak berada di muka pintu.
Hendaklah berada di sebelah kiri atau kanan pintu. Tujuannya
apabila pintu dibuka, kita tidak akan terus melihat ke dalam ruang rumah yang
terbuka sehingga ternampak perkara yang tidak sepatutnya dilihat.
4. Memberi isyarat ketika memasuki rumah sendiri.
Ini adalah amalan para Sahabat seperti Abdullah ibnu Mas'ud.
Isterinya mengatakan bahawa jikalau Ibnu Mas'ud ingin masuk ke rumah, beliau
akan berhenti di depan pintu dan berdehem-dehem sebelum masuk.
5. Tidak sedih jika kunjungan tidak diterima.
Bersangka baiklah kerana tidak semua orang mampu menyatakan
keuzuran mereka. Boleh jadi tuan rumah tidak perasan, mungkin mereka bersama
keluarga atau tidak bersedia menerima tetamu kerana keadaan rumah mereka tidak
begitu sempurna.
Hayati kata-kata seorang Tabiin iaitu Qatadah bin Di'amah
as-Sadusi, "Jangan berdiri di depan rumah orang yang tidak menerima
ziarahmu. Mungkin kamu ada urusan dan mereka juga ada urusan. Ketahuilah,
bahawa urusan mereka itu lebih utama."
Apabila tidak diterima sebagai tetamu, contohilah akhlak
ulama sufi. Ada sesetengah ulama sufi gembira dan berharap agar mereka disuruh
pulang. Mereka beramal dengan sepotong ayat al-Quran dalam yang bermaksud,
"Jika seorang daripada kamu meminta izin sebanyak tiga
kali dan tidak diizinkan maka hendaklah dia pulang".
(Surah an-Nur ayat 28)
Sebenarnya mereka adalah pencinta kebaikan dan mereka
mencari-cari pahala kesabaran dan keikhlasan di sebalik kalimah 'terlebih baik'
itu.
Wallahu Anta A'lam
No comments:
Post a Comment