BERSEDEKAH MENYEBABKAN KITA KAYA
Ada beberapa rahsia untuk menjadi kaya tanpa kita duga.
Banyakkan bersedekah. Berikut ini beberapa dalil yang menyatakan dengan
bersedekah, seseorang itu boleh menjadi kaya atau dimurahkan rezekinya.
Sedekah Menjadi Sebab Allah Membuka Pintu Rezeki
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka
pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair,
ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh
Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang
membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya.
Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R.
ad-Daruquthni dari Anas r.a.
Sedekah digandakan 700 kali ganda.
Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana
terdapat keterangan di dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amat amati ayat
al-Quran berikut, kita akan dapat mengira bahawa sekurang-kurangnya setiap harta
yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali
ganda. Selain itu, mereka dijandikan dengan kehidupan yang mudah:
Allah Ta’ala berfirman: “Perumpamaan (nafkah yang
dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah
serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir
seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki .
Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” . (Al Baqarah (2) : 261)
Allah Lipat-gandakan Ganjaran orang yang Bersedekah.
“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki
mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan
dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang
banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)
Rezeki dimurahkan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada
Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki
kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang
bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (At-Talaq:2-3)
Di dunia, mereka yang bersedekah akan dimurahkan rezeki oleh
Allah dalam kehidupannya. Faedah ini dijelaskan oleh Jabir Abdullah katanya:
“Rasulullah berucap kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah
kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum
kamu sibuk (dengan yang lain), dan jalinkanlah hubungan di antara kamu dengan
Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya (berzikir) dan banyakkan bersedekah
secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah,
diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan
itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Keberkatan Dalam Rezeki.
Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan
adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak
dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah
meskipun banyak harta.
Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang
mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya.
Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman ‘Bukankah Aku
lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?’ Nabi Ayub mejawab ‘Ya benar,
demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu’. Kisah ini
menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh
Allah.
Kaya Jiwa
Kekayaan bukanlah sesuatu yang harus diidam-idamkan oleh
seseorang Islam kerana kekayaan boleh membawa kerosakan kepada seseorang
sekiranya tidak menurut jalan yang betul. Islam lebih melihat kekayaan dari
segi kekayaan jiwa. Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda: Kekayaan itu bukanlah kerana mempunyai banyak harta tetapi
kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan jiwa. (Sahih Muslim.)
Dari aspek harta-benda, kekayaan jika disalurkan ke jalan
yang betul akan memberi seseorang pahala yang banyak, terutamanya jika digunakan
untuk bersedekah.
Berzikir dan Banyak Bersedekah dalam Sembunyi dan Terang
Hadis berikut ini pula menyeru kita agar rajin bersedekah
kerana Allah akan memberi kita rezeki dan kesenangan melalui bersedekah. “Wahai
manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan
amalan amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan
Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak
bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi
rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.” H.R Ibnu Majah.
No comments:
Post a Comment