Saya teringat semasa masih berada di alam persekolahan. Masa
itu, saya suka menghabiskan banyak masa di sebuah masjid berdekatan rumah,
terutamanya ketika pulang bercuti dari asrama.
Di masjid itu juga terdapat beberapa kenalan yang selalu
beri'tikaf di sana.
Suatu waktu, saya dilanda perasaan kesedihan di penghujung
salah satu dari bulan Ramadhan yang telah bertamu di dalam salah satu dari
bilah-bilah tahun yang meniti usia persekolahan saya. Saya kesedihan kerana
merasa telah gagal merebut masa-masa berharga sepanjang bulan Ramadhan itu.
Pada awalnya, saya telah berazam untuk menjadikan Ramadhan
tahun itu, titik tolak perubahan diri saya. Bila tersedar, Ramadhan hanya
tinggal beberapa hari sahaja lagi dan tak banyak saya dah buat dek kelekaan;
juga rasanya, tak ada perubahan pun yang berlaku ke atas diri saya, maka saya
berasa amat sedih.
Apa yang saya lebih bimbang adalah jika Ramadhan itu adalah
yang terakhir untuk saya.
Rupa-rupanya kesedihan saya ini, dikesan oleh seorang rakan
yang sama-sama sering beri'tikaf di masjid itu, cuma usianya lebih tua beberapa
tahun dari saya.
Setelah beberapa kali dipujuk, saya akhirnya menceritakan
kepadanya apa yang terperap di hati.
Rupa-rupanya, tidak sia-sia saya mengadu kepadanya. Walau
pun hanya seorang penghantar surat di sebuah syarikat yang beroperasi di
kawasan berdekatan, dia memberikan saya suatu jawapan yang sangat berharga.
"Dik," dia memulakan kata selepas saya habis
berbicara.
Dia menyambung; "Sejujurnya, abang pernah alami apa
yang adik lalui ini. Tetapi abang berfikir secara positif. Ramadhan sememangnya
bulan yang amat istimewa. Jika kita terlepas untuk mendapatkan kebaikan
di'dalam'nya, ambil kekuatan 'daripada'nya. Ramadhan ada kekuatan dan salah
satunya adalah kenangannya. Simpan kenangan Ramadhan itu dan jadikan ia suatu
keazaman. Mengadulah kepada tuan punya Ramadhan bahawa kita teramat sesal
kerana telah membiarkan Ramadhan berlalu; bukan sahaja tanpa layanan yang baik,
malah di'sapa' pun tidak. Buktikan kepadaNya betapa bersungguhnya sesalan kita
itu dengan mengubah diri kita menjadi hamba yang soleh untuk sebelas bulan yang
akan datang. Mohon bersungguh dari Tuan Punya Ramadhan untuk diizin bertemu
Ramadhan yang akan datang. Katakan kepada Tuan Punya Ramadhan itu bahawa kita
akan benar-benar memesrai Ramadhan, andai direstu pertemuan yang akan datang.
Berdoalah dan terus berdoa..."
Begitulah, si penghantar surat ini; dengan agak panjang dan
dengan bahasa yang tidak tersusun sebenarnya; namun diungkapkanya dari telaga
hatinya dan dengan ber'gayung'kan pengalaman.
Saya kongsikan kenangan ini, di penghujung gerabak Ramadhan
tahun ini; buat mereka yang mungkin perlu merawat hati di saat-saat perpisahan
ini.
Saat-saat di mana, Ramadhan sedang melambai-lambai pergi,
meninggalkan kita...
No comments:
Post a Comment