Assalamualaikum wbt. Saya bukanlah penulis tegar,saya
hanyalah manusia biasa yang masih mencari lampu yang terang di atas muka bumi
ini. Saya juga bukanlah pencerita, cukuplah sekadar disini saya ingin
memuitiskan bibit jatuhnya hati seorang mujahadah terhadap sang mujahid dalam
bumi Allah ini. Nama diberi ana, seorang yang periang, tegas dalam kata-kata
dan seorang yang sukakan dunia teknologi. Alunan muzik dari Liyana Jasmay ,
Cinta Bersatu bermain di gegendang telinga menaikkan semangat lagi untuk saya menulis
coretan ini.
Ceritanya bermula sekitar September 2011, dek semua pelajar
berebut mahu digelar mahasiswa atau mahasiswi hati terasa hambar bila kali
pertama menjejakkan kaki ke IPTA di Shah Alam. Hati bergelora tidak mahu
menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda, atas desakan keluarga yang mahu
saya menjadi contoh kepada adik-adik yang lain. Akhirnya saya akui juga. Pasrah
dengan keadaan yang sedia ada, saya memulakan hidup saya di universiti awam
dalam bidang teknologi maklumat. Seminggu selepas semua pelajar baru memulakan
sesi, kami(pelajar baru) diarahkan oleh ahli Seketariat Mahasiswa Fakulti (SMF)
untuk menjalankan sesi perkenalan atau lebih dikenali sebagai Program
Pemantapan Wawasan. Program itu dijalankan selama dua hari, penat entah kepalang
kami dibuatnya. Tetapi, peristiwa yang paling saya tidak akan lupakan adalah
ketika saya mahu mengambil makanan bersama rakan baik saya, Anis.
“Aik makanan habis ke bang?”, tanya saya kepada salah
seorang SMF disitu.
“Haah la awak habis. Maaf banyak-banyak”, balas SMF tersebut
dalam nada yang sangat berbudi bahasa.
“Takkan tak kira berapa student yang hadir kot?”, tanya saya
dalam nada yang kurang berbudi.
“Maaf awak saya gurau saja, ada lagi la”, jawab SMF tersebut
sambil tersenyum.
Untuk pertama kali dalam hari yang membosankan itu, saya
tersenyum dan malu-malu sehingga kawan saya pun tegur senyum kambing saya itu.
Selepas tamat program saya menjalankan hidup seperti biasa,
pergi ke kelas, balik ke kelas, makan, tidur dan itulah lazimnya yang saya
lakukan seharian. Tetapi bayangan lelaki yang bergurau dengan saya semasa
program tersebut masih segar dalam ingatan. Teringin juga meminta maaf dengan
lelaki SMF itu angkara berkasar dengannya tempoh hari hal makanan sahaja. Tapi
sebabkan malu dan ego saya biarkan sahaja peristiwa itu dilekatkan dalam
ingatan dan masa berlalu detik demi detik sehinggalah suatu hari.
Allah itu Maha kuasa, sebulan selepas Program Pemantapan
Wawasan, semasa itu saya ingat lagi di dalam kafe fakulti, saya ingin mencari
tempat duduk untuk makan.
“Awak!”. Terdengar suara seorang lelaki memanggil. Saya
terus menoleh. Dan rupanya lelaki SMF itu yang memanggil sambil tersenyum. Saya
terkejut dan kaget melihat dirinya. Saya membalas senyuman si dia dan
cepat-cepat saya mencari kerusi untuk duduk dan saya membelakangi si dia kerana
saya tidak mahu berjumpa dengan si dia kalau boleh. Malu teramat sangat
sebenarnya angkara peristiwa tempoh hari.
Pulang dari kafe, saya terbayangkan wajahnya. Rasa mahu
berjumpa dengan dirinya tetapi apakan daya, mungkin siapalah saya untuk
dihiraukan. Di bilik kolej saya, saya log in ke akaun mukabuku saya, dan saya
terlihat ada satu “friend request”. Oh dia rupanya!
Hati gembira bukan kepalang mahu melompat-lompat sahaja
rasa, tambahan lagi bila si dia memulaikan konversasi kami di inbox mukabuku.
Kami berbalas-balas idea dan pendapat serta saya tanyakan sedikit hal ehwal
fakulti hal ini kerana si dia juga merupakan seorang leader dalam sebuah kelab
dalam fakulti. Dan yang paling saya kagumi, si dia mampu memberikan
nasihat-nasihat yang berguna ala ustaz gitu.
Hari demi hari kami berkawan, dari chatting di mukabuku kami
saling bertukar-tukar nombor telefon. Dan sehinggalah lingkungan akhir Februari
2012 ketika itu cuti semester pertama saya sebagai seorang pelajar sarjana
muda. Cuti semester kali ini memberikan 1001 makna dalam hidup saya, terbuka
hati saya ini untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT dan saya bertekad
untuk kelihatan lebih sopan dan mantap dari segi agama asasnya.Apalah yang mahu
dikejar dalam dunia ini selain ibadah yang dilakukan hari-hari. Hati merintih
memohon pada Allah supaya dipandang olehNya manusia seperti saya yang sering
tidak bersyukur dengan apa yang diberikan selama ini. Ujub, takbur dan riak
menjadi pegangan hidup hari-hari. Tudung dilabuhkan, stokin tangan dan kaki
disarungkan, baju dilonggarkan potongannya dan Alhamdullilah hati ini tenang
hanya Allah sahaja tahu. Tidak berturban, tidak berpakaian menarik perhatian
(warna-warni), tidak jua berpakaian seperti bertelanjang kerana dunia ini
hanyalah semantara, tidak perlu mencari perhatian mata manusia, tetapi Allah.
Itulah yang saya pegang sehingga kini.
Saya semakin asyik mendengar ceramah-ceramah agama di
youtube dan melayari laman sesawang yang menulis perihal agama untuk lebih
mendalami ilmu Allah ini. Dan dalam banyak-banyak ceramah yang didengar, saya
amat tertarik dengan bab “kahwin awal”. Betapa besar sungguh pahala seorang
wanita yang hanya perlu mentaati suaminya. Dan dalam video tersebut ada juga
diceritakan bahawa pahala dapat dikumpul dengan berkahwin diusia muda. Tatkala
saya semasa itu pula menggila ingin “topup” pahala, saya amat teruja
mendengarnya! Dan atas sebab itu juga, saya bertekad untuk berkahwin awal, dan
mencari seorang lelaki yang mampu memimpin saya ke jalan yang lebih baik.
Bidadari syurga menjadi pilihan, itulah azam saya ketika itu!
Tatkala semua pelajar sarjana muda sibuk menunggu masa untuk
kembali ke semester baru, saya telah dilantik menjadi seorang SMF 2012/2013
bagi fakulti, tetapi dikirakan si dia sudahpun menjadi mantan SMF pada ketika
itu. Saya terpaksa datang ke fakulti saya kembali di Shah Alam, untuk majlis
lantikan dan angkat ikrar. Saya teringatkan yang si dia juga merupakan SMF
semasa Program Pemantapan Wawasan dulu lalu saya terus menghantar SMS kepada si
dia. SMS tidak berbalas tetapi tiba-tiba si dia muncul dihadapan meja tempat
saya makan selepas majlis selesai.
“Awak nampak lain la hari ni”, ujar si dia.
“Cantik eh?”, jawab saya bergurau.
Si dia hanya mengangguk tanda setuju. Saya pula tersipu-sipu
malu dibuatnya. Si dia duduk dan keadaannya seperti cacing kepanasan sahaja.
“Awak kenapa?”, tanya saya.
Dia diam dan tunduk. Dan cuba memulakan bicaranya.
“Awak sudi tak kalau awak jadi isteri untuk saya, ibu untuk
anak-anak saya?”, tanya si dia dengan muka merah.
Saya terkejut dengan lamaran si dia dan berkata.
“Saya setuju”, jawab saya tersenyum malu.
Ramai rakan-rakan saya yang terkejut mendengar perkhabaran
saya akan bertunang dengan si dia pada hari raya nanti. Ramai yang berkata saya
tidak rasional menerima si dia dalam masa yang singkat. Dari kami berkenalan
sehinggalah kini, kami amat menjaga batas kami sebagai pasangan tunang. Tunang
bukan alasan untuk kita berdua-duaan, bermesra-mesraan dan sebagainya.
Alhamdullilah menerima si dia adalah kerana ketulusan seorang lelaki yang
betul-betul mencari seorang isteri. Nampak di sinar matanya dia bersungguh
mencari seorang isteri dan bukanlah seorang “awek” yang dipimpin kesana kemari.
Sedangkan lidah lagi tergigit apa lagi pasangan tunang, saya
memperbaiki diri saya dari semasa ke semasa kerana kadangkala perangai dan
sikap saya yang agak melampaui. Tetapi saya jua masih belajar dan proses
pertunangan ini merupakan satu titik permulaan saya untuk menjadi seorang
isteri yang solehah. Selalu mendengar nasihat si dia dan sentiasa menyokong
dengan apa yang si dia lakukan. Ya Allah , ya tuhanku betapa bersyukurnya saya
kerana mengurnai hamba seorang lelaki yang soleh dan tabah. Kini terbuktinya setiap
apa yang dilakukan itu ada hikmahnya jua.
Tahukah kau wahai bakal suamiku,
Allah sangat itu sangat mencintai diri ini dengan mengurniai
kamu disisi?
Disini aku sedang belajar untuk menjadi dewasa dan siap
untuk mendampingimu kelak.
Walaupun resah dan putus asa kadangkala menguasai diri
tetapi kau singkap semuanya dengan kelembutanmu dan nasihatmu. Kadangkala jua
aku tertanya kenapa Allah selalu menguji aku tepat pada hati ini? Kini ku tahu
jawapannya.
Allah jua tahu dimana tempat paling tepat agar aku sentiasa
mengingatiNya dan sekaligus kembali mencintaiNya.
Ujian demi ujian, dugaan demi dugaan membuatkan aku lebih
teguh dan kuat, yang akan membuatkan kau pasti bangga memilikiku suatu hari
kelak.
Aku yakin Allah juga mencintaimu sebagaimana Dia mencintai
diriku, aku yakin Allah sedang melatih dirimu menjadi seorang mujahid yang
teguh dan kuat yang pasti akan membuatkan aku jua merasa bangga memilikimu
suatu hari nanti insyaallah