50 Perkara Dari Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok.
Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarkatan itulah antara sebabnya. Saya mahu
meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang
Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya
kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi
orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak
dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses
kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa
sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa.
Tiada jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang
tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui
jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina)
kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang
faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah
faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya
ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada
pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan
kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan
ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke
Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak
bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa
rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada
masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke
bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita
untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik.
Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana
bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada
pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita
tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu
berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang
dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat
fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh
itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh
tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia.
Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab
depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan
pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan
ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran
ini kepada saya tidak mustahak .
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana
orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang
Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada
kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita
perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya
tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya
bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang
Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan
dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah
kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya
hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk
anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang
baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti
tapi apa yang saya lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain
supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya
bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak
tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu
semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak
kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana
politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia
bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak
syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak
tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau
RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka
hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka
lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang
berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan
membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta
mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab.
Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata
orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau
mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau
hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan
tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak
dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi
walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang
lain boleh berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang
alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama
seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa
kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang
perlukan bantuan .
30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi
nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar
dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai
orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya
terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong
orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong
orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya
berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh
maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena
cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama
hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab
ibadah adalah tugas seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk
kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang
Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik
dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai
Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional.
Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini
saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara
jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih
akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan
oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir.
Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi
perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja
kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya
boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang
boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah
besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar .
Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena
bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri
seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya
bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat
sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua
ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya
buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu
beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada
segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus
peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak
boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat
langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal
terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai.
Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain
merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya.
Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain
merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati
saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya
kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.
50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.
No comments:
Post a Comment