BUAT TATAPAN SUAMI DAN ISTERI
--------------------------------------------
15 Februari 2015
PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53
tahun sudah pasti memberi kesan hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan
itu seorang suami penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi
pemimpin disayangi ramai, di dalam dan luar negara.
Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK, isteri
bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman
beliau sehari selepas pemergian suami yang dicintai itu.“Nanti abang tak dok
(meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,” itulah kata-kata yang
membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang baru sehari
meninggalkan saya buat selama-lamanya.
Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari sebelum
meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan insan yang selama ini
berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.
Sambil menggenggam tangan abang, saya kata “anak-anak kita
kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,”
walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.
(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil
menyapu air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang
menziarahi keluarganya di kediamannya).
Kini, anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya,
menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru sehari, saya mengakui saya
sangat merindui beliau.
Dengan izin, hari ini (semalam) saya dan semua anak-anak
awal-awal pagi lagi ke kubur. Dalam keadaan sayu hati dan reda dengan ketentuan
ALLAH SWT, saya sedekahkan Al-Fatihah dan ayat suci al-Quran kepada suami
tercinta di perkuburannya.
Saya reda dan saya juga tidak 'berhutang' apa-apa lagi
dengan abang. Saya memang menjaga abang sepenuh hati saya sebagai seorang
isteri sebagaimana yang abang mahukan selama ini, walaupun saya juga kadang
kala diuji dengan kesihatan yang tidak menentu.
Sebelum ini, makan, minum dan pakaian abang dijaga dengan
baik. Makanan sentiasa terhidang untuk suami tersayang dan tidak pernah
sekalipun saya menyuruhnya mengambil sendiri.
Cuma, saya perasan satu kelainan kerana beberapa bulan lalu,
abang kadangkala menyediakan sendiri minumannya tanpa bantuan saya.
Saya menghormati abang, memang abang seorang insan istimewa
yang tiada galang gantinya bagi saya. (Beliau terus menyapu air mata dan
kemudiannya cuba memujuk diri dengan melemparkan senyuman kepada hadirin).
Biarpun abang seorang menteri besar dan pemimpin masyarakat,
namun abang bukanlah seorang yang cerewet, terutamanya dalam soal memilih
makanan.
Senang sangat, malah saya yakin setiap isteri di dunia ini
mengimpikan seorang suami yang 'mudoh baso' (senang kira) malah tidak
keterlaluan jika saya katakan, saya antara yang bertuah kerana memiliki abang.
Masakan kampung memang menjadi keutamaan abang. Sedap atau
tidak bukanlah satu kepentingan. Apa yang pasti, itulah menu pilihan, tambahan
pula jika disajikan dengan ikan darat, ditambah pula kuih paling digemari,
lompat tikam serta jala emas.
(Mengimbas semula kisah hidupnya sebagai suami isteri, Tuan
Sabariah juga memberitahu setiap malam dia akan mengurut dan menyapu minyak di
tubuh Tok Guru sebelum tidur).
Sentiasa saya ingat, kata-kata abang yang memberitahu, tidak
ada harta yang banyak boleh ditinggalkan untuk anak-anak. Semuanya sudah
diberikan. Harta yang dimaksudkan adalah ilmu untuk menjadikan anak-anak yang
soleh, berguna kepada agama dan bangsa.
Memang abang pentingkan ilmu kepada anak-anak, kerana
baginya, ilmulah darjat yang paling tinggi di akhirat.
Itulah yang sentiasa menjadi pesanan abang kepada semua
anak-anak.
Bukan sahaja pentingkan ilmu, malah abang juga seorang yang
penyayang. Masih terbayang-bayang lagi tiga hari sebelum abang menghembuskan
nafas terakhir, kami ketawa bersama apabila dia mengenyit mata kepada saya
ketika terbaring di katil hospital.
Malah saya membalasnya dengan senyuman yang penuh ikhlas
dari hati saya sambil menggenggam tangannya.
Walaupun ketika itu abang tidak gagah namun abang masih lagi
memujuk hati saya dengan bersikap demikian kerana abang tahu, saya terlalu
risaukan kesihatan abang.
Saya kagum kerana abang masih lagi (berusaha) menghiburkan
saya walaupun dalam keadaan uzur.
Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang
baik, biarpun dalam keadaan terlantar, masih lagi menjaga batas-batas saya
sebagai seorang Muslim.
Pernah satu ketika, saya bercakap dengan seseorang. Pada
mulanya abang hanya menghentak tangannya pada saya dengan perlahan, tapi
lama-lama semakin kuat.
Rupa-rupanya abang tidak suka saya bercakap perkara yang
tidak sedap didengar di telinganya.
Sampai begitu sekali dia sayangkan saya, supaya saya tidak
buat perkara yang merugikan, malah abang sering berpesan ia adalah kebaikan
untuk dijadikan contoh kepada anak-anak.
Ini juga yang patut dicontohi dan saya amat bersyukur semasa
dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, abang masih lagi bangun sepertiga malam
untuk bertahajud.
Sangat tersentuh hati saya apabila kira-kira jam 3 pagi saya
mendengar abang sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran ketika bertahajud dan
pernah satu ketika, bacaannya agak kuat kerana sengaja untuk bangunkan saya
daripada tidur.
Memang inilah amalan abang sejak dulu lagi, malah tidak
pernah abang abaikan dan mengeluh penat untuk melaksanakannya, walaupun
kadangkala balik lambat sehingga jam 2 pagi (sewaktu menjadi menteri besar) pun.
Bertahajud tetap menjadi keutamaannya.
Pernah juga abang bergurau, “Pahala solat sunat abang
lakukan ini tidak boleh berkongsi dengan Yah, amalan masing-masing. Jadi kita
kena sentiasa beribadah”.
Walaupun nada nya bergurau, tapi saya tahu pesanannya itu
adalah daripada seorang suami yang mahukan yang terbaik buat isterinya.
Abang memang utamakan solat. Setengah jam sebelum masuk
waktu abang akan bersedia dengan wuduk dan saya masih ingat perumpamaan yang
ditujukan kepada saya mengenai solat. Katanya, seperti menghadiri majlis
kenduri, jika lewat datang sudah pasti lauk-pauk tidak akan cukup lengkap.
Katanya sama juga dengan solat, jadi jangan tangguh-tangguhkan.
(Sekali lagi air mata Tuan Sabariah mengalir dan tetamu yang
berada di ruang tamu juga kelihatan sayu sambil kedengaran tangisan kecil
apabila berkongsi mengenai baju paling disukai oleh Tok Guru yang digayakan
oleh isterinya.
Keadaan menjadi lebih sayu dan masing-masing memandang Tuan
Sabariah apabila baju kegemaran Tok Guru itu dipakai sehari selepas pemergian
Allahyarham, sambil tangannya digenggam erat oleh penulis)
Baju inilah (baju kurung kain kapas krim berbunga kecil)
yang abang paling suka saya pakai, malah sering memuji corak yang katanya
begitu sesuai dengan saya. Abang tidak suka saya pakai baju warna terang dan
bunga besar dan banyak, tetapi tidak pula pernah melarang ataupun menegur
sehingga saya berkecil hati.
Pernah juga baju pemberian rakan terpaksa disimpan walaupun
hanya beberapa kali dipakai.
Ini kerana abang pernah menegur saya secara bergurau, “Yah
nampak tua pakai macam itu." Saya hanya membalas dengan ketawa dan terus
menyimpan baju itu dan tidak dipakai lagi.
Bagi saya, apa yang terbaik untuk abang adalah yang terindah
bagi saya. Walaupun hal pakaian adalah perkara remeh bagi sesetengah isteri,
namun itulah keutamaan bagi saya untuk menjadi isteri yang patuh kepada suami.
No comments:
Post a Comment