DIPAKSA MENIKAHI PEREMPUAN CANTIK
Seminggu lagi, aku akan menikah, tetapi hari ini aku masih
di sini, kota besar, sendiri mengenangkan nasib. Tidak ada wang, tidak ada
kereta, tidak ada kerja, tidak ada apa-apa selain, telefon murah, dan oh...
telefon aku juga tidak punya kredit.
Sewa rumah pun belum aku bayar, tetapi aku akan menikah lagi
seminggu. Majlisnya sederhana, bernikah dengan gadis kampung sebelah, di rumah
ibu gadis itu, dan aku tidak kenal lagi siapa gadis itu. Orang tua aku yang
mengaturkannya, dan aku masih terfikir-fikir, mengapa orang tua gadis itu,
sanggup mengahwinkan anaknya dengan seorang lelaki seperti aku.
Aku lelaki yang apabila ditanya apa kerjanya, aku tidak tahu
bagaimana harus menjawab. Aku memang bekerja tetapi, kerja sambilan di hotel,
tolong kawan-kawan yang meniaga online di internet, ada sesekali mengikuti
seminar MLM, dan banyak waktu duduk di rumah sewa, menatap akhbar mencari
kerja.
Lalu, atas sebab apa ibu bapa gadis itu, sanggup menikahkan
anaknya kepada aku, dan hantaran kahwinnya, cuma senaskah Al Quran, dan mas
kahwin cuma RM80.00. Lebih menghairankan, semua kenduri ditanggung oleh
keluarga si gadis.
Mengapa? Bertambah aku tidak mengerti, apabila, orang tua
gadis itu, mengahwinkan aku dengan anak perempuannya yang cantik, yang
bertudung litup. Ya, aku ada melihat gambarnya, dan atas sebab kecantikan
itulah, aku walaupun dengan semua kehairanan itu, aku setuju juga dengan
perkahwinan yang diatur keluarga ini. Ditambah cerita, perempuan itu lulusan
universiti luar negara, berkerja sebagai pegawai kerajaan yang gajinya, cukup
bagi membayar ansuran kereta BMW.
Pada mulanya, aku fikir aku ibarat tikus yang jatuh ke dalam
guni beras, tetapi ketika majlis semakin hampir, aku mula terfikir, ada perkara
yang disembunyikan. Adakah gambar yang diberi sama dengan wajah aslli perempuan
itu? Adakah perempuan itu sebenarnya ibu tunggal? Atau yang paling menakutkan
aku, perempuan itu sedang mengandungkan anak orang lain, dan aku menjadi 'pak
sanggup'. Lalu, daripada sinilah kisah aku ini bermula.
***
Tengah hari itu aku nekad pulang ke kampung. Aku nekad,
menyiasat latar belakang bakal isteri, dan mengapa ibu bapanya, sanggup
melepaskan anaknya kepada lelaki seperti aku. Cuma tidak pasti, apakah cara
untuk menyiasat, dan semasa di dalam bas aku kira beruntung, duduk di sebelah
seorang lelaki yang peramah.
Kepada lelaki itu aku bertanya, “Bagaimana mahu tahu latar
belakang bakal isteri kita?”
“Senang sangat. Kalau dia ada FB, buka FB dia, atau taip
sahaja nama penuhnya di internet. Nanti adalah maklumat tentang dia. Kalau
susah sangat, pergi tempat kerja dia, tanya kawan-kawan dia, atau tanya
jiran-jiran dia.”
Untuk menyiasat tentang tunang aku itu di internet, nama
penuhnya pun aku tidak tahu. Aku cuma diberitahu, namanya, Sarimah. Berapa
ramai orang nama Sarimah di internet? Lalu aku ambil nasihat kedua lelaki itu,
tanya rakan-rakan sekerjanya, dan mujur aku tahu gadis itu bekerja di pejabat
KEMAS di pekan.
Sampai sahaja di kampung, aku pinjam motosikal ayah, terus
ke pejabat KEMAS. Aku tidak tahu apa jawatannya, tetapi pejabat sebesar itu,
berapa ramai sangatlah orang namanya sama. Tetapi agak tidak logik pula aku
terus masuk ke pejabat dan bertanya berkenaan bakal isteri. Lalu akhirnya aku
ambil keputusan menunggu dan memerhati di seberang jalan.
Aku fikir, mungkin pada waktu makan tengah hari, Sarimah dan
wakan-kawannya akan keluar dan, apabila sudah cam wajah kawan-kawannya, semasa
balik nanti boleh tanya tentang Sarimah. Itulah rancangan aku, rancangan yang
diatur kemas. Lalu aku pun duduklah di atas motosikal menghadap pejabat kemas
yang cuma setingkat.
Kemudiannya datang pula rasa menyesal, sebab pada jam 11
pagi, cuaca sudah terik. Di situ pula belum ada pokok yang rendang, kerana
semuanya baru sahaja dicantas dahannya. Sudah panas terik, pengawal keselamatan
di luar pejabat pula asyik meninjau-ninjau. Bukan pengawal keselamatan, malah
orang yang lalu lalang di situ turut memerhati.
Aku lupa, ini pekan kecil, jadi segala perbuatan yang bukan
kebiasaan akan menjadi perhatian. Perbuatan aku, yang duduk di hadapan pejabat
kemas adalah bukan perkara biasa. Nampak terlalu aneh.
Akhirnya, aku semakin berasa menyesal kerana dari jauh aku
lihat seorang perempuan keluar dari pejabat. Semakin dekat perempuan itu,
semakin aku berasa berdebar. Wajahnya semakin jelas, dengan tudung kuning cair
dan baju kurung biru muda. Dia adalah bakal isteri aku, yang aku cuma kenal
namanya sebagai Sarimah. Hanya itu.
Aku fikir, mahu sahaja menghidupkan motosikal dan
kemudiannya terus pergi dari situ tetapi semuanya sudah terlambat apabila
Sarimah berkata, “Awak Salman?”
Aku memberikan senyuman yang paling terpaksa pernah saya
buat. Lebih terpaksa daripada senyum terpaksa apabila bertemu dengan cikgu
semasa sekolah dahulu.
“Ya, saya. Awak boleh cam?”
“Kawan di pejabat yang beritahu, ada lelaki di sebearang
jalan. Mereka mengusik saya, mungkin saya kenal, dan saya mula perasan wajah
awak sama dengan gambar yang emak saya beri.”
Satu pejabat perasan aku menunggu di hadapan pejabat? Teruk
betul cara aku mahu menyiasat. Kemudian pantas aku memerhatikan wajah Sarimah,
dan ternyata wajah aslinya jauh lebih cantik daripada wajah pada gambar.
Mungkin sebab itu gambar pasport. Orang tua dia pun satu, ambillah gambar lain.
Ini tidak gambar pasport anak dia pula. Entah-entah, emak ayah aku pun berikan
gambar pasport aku. Ketika itu juga aku rasa berdebar. Sebab, seingat aku
semasa aku bergambar pasport, aku baru sahaja bangun tidur.
Aku perhatikan pula perutnya, tetapi tidak nampak ada
apa-apa tanda perempuan mengandung. Pada ketika aku memerhati itu, aku perasan
dia terus silangkan tangannya di perutnya dan terus aku berasa malu. Mesti dia
perasan aku pandang perutnya, dan entah apalah dalam fikirannya sekarang.
Kemudiannya, aku perasaan lagi yang Sarimah ini perempuan
yang berani. Berani untuk keluar berjumpa dengan aku. Kalau perempuan lain,
tentu mereka tidak berani. Barulah aku sedar, inilah pertemuan pertama aku
dengan bakal isteri aku. Pertemuan dalam keadaan yang agak aneh.
Selepas pertanyaan itu, kami tiba-tiba diam. Kami hanya
berdiri di tepi jalan raya, sambil memandang ke arah yang sebenarnya agak aneh
untuk dipandang. Aku memandang ke arah pokok dan Sarimah memandang ke arah
motosikal ayah aku.
Aku tahu, ini keadaan yang tidak betul dan aku sebagai
lelaki perlu menunjukkan contoh yang baik kepada bakal isteri aku. Jadi,
selepas puas berfikir dan memberanikan diri, aku berkata, “Sudah makan?”
“Saya diet.”
Nasib baik dia kata dia diet. Bagaimana kalau dia kata,
marilah kita makan, memang aku akan jahanam sebab di dalam dompet aku cuma ada
lima ringgit. Mana cukup. Selepas itu, keadaan kembali sepi.
“Saya mahu masuk pejabat balik,” kata Sarimah sopan dan
membuatkan aku lega.
“Saya pun mahu balik,” balas aku, dan rupa-rupanya lega aku
tidak lama.
“Malam ini jemputlah datang rumah.”
“Datang rumah awak?”
“Ya, makan malam dengan keluarga saya.”
Aku diam. Berdebar-debar.
“Jemputlah sekali ayah dan emak awak kalau mereka tidak ada
halangan.”
“Baiklah, selepas maghrib saya saya sampai.”
***
Sepanjang perjalanan balik aku berasa tidak puas hati dengan
diri aku. Mengapa aku tiba-tiba menjadi kaku. Sepatutnya, pada waktu itulah aku
banyak tanya bagi menyiasat mengapa dia dan keluarga dia memilih aku.
Cuma malam ini aku berasa sedikit gerun. Alamat rumah
Sarimah, aku boleh tanya ayah aku, tetapi adakah aku patut bawa ayah dan emak aku
sekali? Tidak.. tidak.... Bukannya aku tidak tahu, biasanya kalau emak ada
sekali, habis semua rahsia anak dia ceritakan. Seronok betul cerita rahsia
anaknya.
Lagipula aku ada banyak rahsia yang tidak patut Sarimah dan
emak ayahnya tahu. Rahsia yang aku paling takut emak akan beritahu adalah,
hampir setiap bulan aku masih lagi meminta duit daripada emak aku. Memang
memalukan tetapi untuk pergi seorang diri pula, memang aku tidak yakin.
Akhirnya, aku ada idea paling bernas. Aku terus melencong ke
rumah kawan lama aku, Rudy. Bukan setakat kawan lama, tetapi juga kawan karib.
Aku yakin dia ada di rumah, kerana dia juga senasib dengan aku, belum ada kerja
tetap. Bezanya, dia bertarung hidup di kampung, dan aku bertarung hidup di
kota.
Sampai sahaja di rumah Rudy, aku lihat Rudy sedang duduk di
tangga sambil bermain gitar. Itulah kemahiran Rudy yang aku sangat cemburu. Aku
tidak pandai bermain gitar dan akibatnya.... oh... ada lagi rupanya kemahiran
Rudy yang aku tidak ada. Rudy pandai mengorat gadis dengan bermain gitar, dan
Rudy sangat berani berhadapan dengan perempuan, tidak seperti aku. Itulah
akibatnya, aku tidak ada keyakinan apabila berhadapan dengan perempuan.
“Lama tak nampak,” kata Rudy sebaik aku duduk di sebelahnya.
“Taklah lama mana. Baru dua bulan lebih.”
“Lamalah tu.”
Aku diam, dan cuba mendengarkan petikan gitar lagu rock
kapak, 'Suci Dalam Debu'. Aku cuba menyusun ayat, bagi mengajak dia menemani
aku malam ini, tetapi belum ada ayat yang bagus.
“Aku dengar seminggu lagi kau nak kahwin. Kau tak jemput pun
aku,” kata Rudy, dan itu secara tidak langsung memberikan aku jalan bagi
melaksanakan rancangan aku.
“Ini majlis sebelah pihak perempuan, jadi mereka jemput
sebelah perempuan sahaja.”
“Sebelah lelaki bila?”
Aku diam, kerana aku tidak tahu bila. Sebab dengan kewangan
aku sekarang, hidang mi goreng kepada tetamu pun aku tidak mampu.
“Tengoklah. Kalau ada kad aku sampai ke rumah kau, kau
pergilah.”
Rudy semakin merancakkan petikan gitarnya. Kini lagu Adele
pula, 'Someone like you'. Entah mengapa, lagu yang temanya kecewa sahaja dia
mainkan petang ini.
“Dia cantik tak?” Rudy memandang dengan senyuman penuh
berharap.
“Cantik.”
“Macam mana kau jumpa dia?” Senyuman Rudy kini semakin
tinggi harapannya. Harapan jenis apa aku tidak tahu. Mungkin harapan untuk
melihat aku bahagia. Walaupun aku berasa seperti tidak logik pula harapan itu
wujud daripada Rudy.
“Ayah dan emak aku jodohkan. Aku terima sahaja.”
“Kau tidak pernah jumpa dia?”
“Baru tadi.”
“Memang dia cantik?”
“Memang cantik.”
Rudy kini memperlihatkan pula wajah orang yang sedang gusar
dan berfikir panjang.
“Apa kerja dia?”
“Pengawai di KEMAS. Aku tidak tahu jawatannya. Tetapi emak
aku kata, pegawai tinggi juga.”
“Hmm... dia cantik, kerja bagus tetapi dia mahu kahwin
dengan kau. Hairan.”
Aku menelan liur. Nampaknya Rudy juga sudah perasan sesuatu
yang tidak kena. Dia pandang wajah aku.
Rudy menyambung, “Kau pun, bukannya kacak pun.
Hairan-hairan.”
Aku tersenyum pahit. Aku akui, aku memang tidak kacak dan
itu pun sebenarnya merisaukan aku juga.
“Kau tidak hairan?” soal Rudy.
“Memang aku hairan.”
“Kau sudah periksa latar belakang perempuan itu?”
Aku pandang wajah Rudy. Akhirnya peluang aku tiba.
“Malam ini kau ikut aku. Temankan aku ke rumah tunang aku.”
“Buat apa?” Rudy memandang hairan.
“Dia ajak aku makan malam di sana. Jumpa dengan ayah dan
emaknya. Waktu itu aku fikir baru hendak siasat latar belakangnya.”
“Jadi kau pergilah sendiri.” Rudy kembali menyambung memetik
gitar.
“Kau bukan tidak tahu aku. Aku segan. Aku perlukan kau
temankan aku. Lagipun kau berani, mungkin kau boleh tolong siasat-siasat juga.”
“Siasat-siasat? Macam mana?”
“Tanyalah apa-apa soalan yang patut. Engkaukan berpengalaman
dalam dunia percintaan. Mestilah tahu.”
Akhirnya selepas lama aku pujuk, Rudy pun setuju.
***
Malam itu, walaupun aku sudah salin alamat daripada ayah
aku, tetap jugalah aku sesat. Aku sampai, selepas isyak, bukannya selepas
maghrib. Aku lihat makanan sudah sedia terhidang di atas meja, dan nampak sudah
sejuk. Mungkin perut Sarimah dan orang tuanya juga sudah lapar.
“Maafkan saya sebab lambat.”
“Tidak mengapa, masuklah,” kata seorang lelaki yang sebaya
ayah aku. Mungkin dia adalah ayah Sarimah dan bakal ayah mertua aku.
“Ooo... inilah Salman. Ayah kamu kata kamu akan balik lusa,
cepat pula kamu balik,” tegur seorang perempuan pula, yang aku yakin adalah
emak Sarimah.
“Ada hal sedikit,” balas aku dan kemudian berkata, “Kenalkan
ini kawan saya Rudy. Emak dan ayah saya tidak dapat datang.”
Kemudiannya, Sarimah keluar dari dapur dengan dan dia
kelihatan sangat cantik. Terpegun aku dan aku sempat melihat wajah Rudy yang
ikut terpegun.
“Untunglah kau,” bisik Rudy.
Selepas makan, kami duduk pula di ruang tamu dan pada waktu
itulah, aku jeling-jeling Rudy supaya mula menjalankan kerjanya.
“Salman beritahu, yang ini kali pertama dia berjumpa dengan
pak cik dan mak cik. Malah dengan Sarimah pun baru semalam berjumpa,” kata Rudy
memulakan bicara dan aku mula berdebar-debar.
“Ya, kali pertama berjumpa. Sebelumnya, kami lihat wajahnya
dalam gambar pasport yang emak dia beri,” jawab ayah Sarimah.
Aku semakin berdebar-debar. Emak aku beri gambar pasport?
Ah, sudah! Matilah aku.
“Tidak sangka, orang betulnya, kacak juga,” sambung emak
Sarimah pula.
Aku mula berasa pipi aku panas. Jarang betul orang puji aku
kacak. Kalau puji kacak pun, ada makna di sebaliknya. Entah-entah emak Sarimah
pun cuma mahu menjaga hati.
“Itulah saya hairan. Sebab Salman beritahu, orang tua dia
yang aturkan. Tidak sangka, zaman sekarang masih ada lagi perkahwinan yang
diatur oleh orang tua. Apa rahsianya pak cik?” Rudy memang tidak menunggu lama.
Terus sahaja dia bertanya sambil ketawa-ketawa kecil. Jadi, walaupun soalan itu
serius, tetapi ia nampak seperti bergurau.
“Tidak ada rahsia apapun. Salman tidak beritahu kamu?”
Rudy pandang aku, kemudian dia padang ayah Sarimah dan
menggeleng.
Terus aku kata, “Sebenarnya saya pun tidak tahu apa-apa.”
“Kamu tidak tanya ayah dan emak kamu?”
Pada waktu itulah, aku mula berasa menyesal. Ya, aku tidak
tanya pun ayah dan emak aku mengapa dia pilih Sarimah. Yang aku tahu, emak aku
cuma tanya, “Mahu emak carikan kamu jodoh?” Aku pun terus kata, “Boleh.”
Tahu-tahu, dua minggu selepas itu, aku sudah bertunang dan dalam masa sebulan
akan berkahwin. Itupun tunang guna duit emak aku. Memalukan betul.
“Saya tidak tanya.”
Ayah Sarimah mula ketawa kecil.
“Begini, saya dan ayah kamu itu memang sudah lama kenal.
Suatu hari, borak-borak di kedai kopi, kami bercerita tentang anak
masing-masing, kemudiannya terus bercerita berkenaan jodoh, dan akhirnya, terus
kepada rancangan mahu menjodohkan anak masing-masing. Selepas itu, inilah yang
terjadi,” jelas ayah Sarimah.
“Begitu sahaja pak cik? Mudahnya!” Rudy nampak terkejut, dan
aku pun sebenarnya agak terkejut juga. Ya, mudahnya.
Emak dan ayah Sarimah hanya tersenyum lebar.
Ayahnya berkata, “Tidaklah semudah itu. Kami pun mahu yang
terbaik untuk anak bongsu kami. Kami pun ada siasat latar belakang Salman.”
“Jadi pak cik tahu yang Salman ini menganggur dan tidak ada
duit?” soal Rudy dan membuatkan aku geram tetapi dalam masa yang sama berasa
sangat malu. Tiba-tiba aku berdoa supaya tubuh aku menjadi kecil, supaya senang
aku menyorok bukan sahaja muka, tetapi seluruh tubuh aku di balik bantal.
“Tahu,” jawab ayah Sarimah sambil ketawa kecil lagi.
“Jadi?” Rudy menyoal sambil memusingkan tangan kanannya. Aku
dapat agak Rudy sebenarnya mahu kata, “Jadi, mengapa masih pilih Salman?”
Mungkin kerana tidak sampai hati, dia cuma buat isyarat tangan sahaja. Ya, aku
tahu betul sebab sudah lama aku kenal Rudy.
“Itulah yang diberitahu oleh ayahnya. Katanya, anak dia
tidak kacak, tidak ada kerja tetap, dan malah, bulan-bulan masih minta duit
daripada emaknya. Tetapi, daripada situlah pak cik tahu, Salman ini akan
menjadi suami yang baik.” Ayah Sarimah tidak lagi tersenyum, sebaliknya
memandang aku dengan wajah serius. Aku pula terus tunduk malu. Malunya aku.
Rupa-rupanya mereka sudah tahu yang aku ini minta duit bulan-bulan daripada
emak aku.
“Jadi?” Rudy sekali lagi menggerak-gerakkan tangannya.
“Ayahnya juga memberitahu, anak dia akan menelefon kampung,
paling kurang dua kali seminggu. Dan, walaupun dia tidak ada pekerjaan tetap,
kerjanya pun tidak menentu dengan gaji yang kecil tetapi setiap kali mendapat
gaji, ayahnya memberitahu, dia tidak pernah lupa memberikan sedikit kepada
emaknya. Walaupun cuma RM50. Jadi, bayangkan walaupun hampir tiap-tiap bulan
dia tidak cukup duit, tetapi dia masih ada perasaan bagi membantu orang tua.
Itulah namanya tanggungjawab!”
Aku tergamam. Aku sebenarnya tidak menyangka ayah aku
menceritakan perkara itu juga kepada ayah Sarimah.
“Ooo... tanggungjawab,” Hanya itu kata Rudy sambil
mengangguk-angguk
Ayah Sarimah menyambung, “Tanggungjawab itu, bukan bermakna
apabila kita kaya sahaja kita perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu adalah
sesuatu yang kita pegang semasa kita susah dan semasa kita senang. Lalu, dalam
rumahtangga, bukan selamanya senang. Lebih banyak masa susahnya. Jadi, pak cik
akan berasa lega, kerana tahu anak pak cik berada dalam tangan lelaki yang
bertanggungjawab.”
“Betul juga pak cik. Lagipun Salman ini, setahu saya dia
tidak pernah tinggal sembahyang dan tidak ada girlfriend sebab takut
perempuan,” tambah Rudy yang membuatkan aku tersipu-sipu. Tidak sangka Rudy
memuji aku.
“Sembahyang itulah perkara utama yang pak cik tanya daripada
ayah dia, dan girlfriend pun pak cik ada tanya.” Ayah Sarimah kembali ketawa
kecil.
“Susah mahu cari orang seperti pak cik pada zaman ini. Zaman
sekarang, semua mahu menantu kaya,” tambah Rudy lalu aku nampak wajahnya
tiba-tiba murung. Mungkin dia sedang bercerita tentang dirinya secara tidak
sedar.
“Semasa pak cik mengahwini ibu Sarimah, hidup pak cik pun
susah. Pak cik juga orang susah, cuma bekerja sebagai kerani, sedangkan ibu
Sarimah itu anak orang kaya kampung. Alhamdulillah, keluarga isteri pak cik
jenis yang terbuka. Lalu, mengapa pak cik tidak memberi peluang kepada orang
yang susah, sedangkan pak cik dahulu pun diberi peluang. Yang utama, sebab dia
susah bukan kerana dia malas, tetapi belum sampai rezeki. Besar bezanya, orang
malas dengan orang yang belum ada rezeki. Kalau susah sebab duduk rumah dan
tidur berguling-guling, memang pak cik tidak terima juga,” jelas ayah Sarimah
dengan panjang lebar.
Aku berasa mula sedikit lega. Tidak sangka betul aku, begitu
fikiran ayah dan emak Sarimah. Perlahan-lahan, perasaan malu aku itu mula
berkurang. Perlahan-lahan juga, curiga aku kepada Sarimah ikut berkurang.
“Anak pak cik pun hebat juga. Dia ikut kata pak cik. Zaman
sekarang, biasanya semuanya sudah ada boyfriend dan girlfriend,” kata Rudy. Aku
tahu, Rudy juga sedang memasang umpan bagi mengetahui latar belakang Sarimah
pula. Aku kembali berdebar-debar.
“Alhamdulillah. Pak cik sangat bersyukur diberi anak
sebegitu. Mulanya, pak cik khuatir juga, tetapi selepas seminggu, Sarimah kata
setuju. Cuma pak cik tidak tahu sebab apa dia setuju, mungkin Salman boleh
tanya dia sendiri selepas nikah nanti,” kata ayah Sarimah, lalu dia, isterinya
dan Rudy ketawa bersama. Tinggal aku dan Sarimah sahaja yang duduk terdiam-diam
malu. Sempat aku menjeling Sarimah, dan bertanya dalam hati, “Mengapa kamu
setuju dengan lelaki seperti aku?'
***
Alhamdulillah. Allah permudahkan kerja kami. Aku sudah sah
menjadi suami kepada Sarimah, dan selepas bersalaman dengan Sarimah, gentar dan
malu aku kepada Sarimah mula berkurang. Malah aku mula memanggil dia, 'sayang'.
Lalu selepas kenduri, kini aku dan Sarimah sudah berada di dalam bilik,
berdua-duan untuk pertama kalinya.
Aku masih ingat pertanyaan aku dalam hati, pada malam aku
bertemu ayah dan emak Sarimah. Kini pertanyaan dalam hati itu aku luahkannya
dengan lidah, “Sayang, mengapa sayang setuju untuk bernikah dengan lelaki
seperti abang? Lelaki yang belum tentu masa depannya, dan mungkin juga membuat
sayang derita.”
Tidak sangka, pertanyaan melalui lidah aku menjadi lebih
panjang dan detail pula berbanding pertanyaan dalam hati.
Sarimah yang waktu itu sedang duduk malu-malu, memandang aku
lalu menyalami tangan aku, dan berkata, “Ampuni Sarimah bang, ampuni Sarimah.”
Aku mula berdebar-debar dan tidak sedap hati.
“Ampuni apa sayang?”
“Sebab, Sarimah sebenarnya sempat curiga juga dengan abang.
Sarimah sempat tidak yakin dengan abang. Malah Sarimah minta tolong kawan
Sarimah, yang kebetulan tinggal berhampiran abang di kota supaya menyiasat
latar belakang abang. Malah, Sarimah juga solat iskhtikarah hanya kerana
ragu-ragu kepada abang.”
Debar aku kembali menurun. Rupa-rupanya, Sarimah lebih
dahulu menyiasat latar belakang aku? Malunya aku. Tetapi sekarang dia sudah
jadi isteri aku, lalu aku angkat kepalanya dan pandang ke arah matanya.
“Abang ampunkan. Abang pun minta maaf, sebab abang pun
pernah juga berasa curiga kepada sayang.”
Sarimah tersenyum. Bukan senyum manis biasa, tetapi senyuman
seorang perempuan yang bahagia, dan senyuman itu sangat ajaib kerana ikut
membuatakan aku berasa bahagia. Mungkin inilah perasaan, bahagia yang datang
daripada kelakuan kita yang membahagiakan orang lain. Tetapi persoalan aku tadi
masih belum terjawab sepenuhnya.
“Jadi, apa kata kawan sayang?” lanjut aku mahu tahu. Risau
juga kawan dia cakap yang bukan-bukan.
“Katanya, abang ini kerja tidak tetap. Motosikal pun pinjam
motosikal kawan, tetapi katanya dia sentiasa melihat abang membaca ruangan
akhbar mencari kerja, menghantar surat, dan sentiasa memeriksa peti surat.
Maksudnya, abang ini seorang yang rajin berusaha. Katanya lagi, dia tidak
pernah nampak abang keluar dengan mana-mana perempuan. Solat pun abang buat
berjemaah di surau.”
Aku mula tersipu-sipu. Jadi bagi mengelak lebih
tersipu-sipu, aku bertanya, “Tetapi orang secantik sayang takkan tidak ada
orang mahu. Pasti ramai yang mahukan sayang, dan mungkin pasti juga yang ada
sudah menghantar rombongan meminang.”
Sarimah sekali lagi tersenyum.
“Ya, memang ramai lelaki yang cuba dekat dengan Sarimah,
tetapi Sarimah sangat takut. Sebab, teringat kepada kakak Sarimah?”
“Mengapa dengan kakak, sayang?” soal aku segera.
Sarimah pun bercerita panjang lebar, dan tahulah aku yang
kakak dia sudah meninggal. Kakak Sarimah dahulu juga seorang perempuan cantik,
dan ramai lelaki yang mahukan dia. Akhirnya, dia kahwin dengan lelaki pilihan
hatinya sendiri. Lelaki yang kacak, berpelajaran tinggi, dan bekerja yang
gajinya lumayan. Sayangnya, selepas setahun berkahwin, suami kakaknya mula berubah
kerana belum mendapat anak. Mula balik lewat dan sering marah-marah.
Malah, apabila suami kakaknya dibuang kerja kerana krisis
ekonomi, hidup mereka menjadi susah dan, suami kakaknya juga semakin besar
perubahannya. Dia sudah tidak balik berhari-hari, apabila balik pula, hanya
bagi meminta wang, marah-marah dan memberi sepak terajang. Kemudian pecahlah
rahsia, rupa-rupanya suami kakaknya itu sudah ada perempuan lain. Lalu pada
hari itu, dengan hati yang kusut, kakak Sarimah gagal mengawal keretanya lalu
kemalangan dan meninggal dunia. Akhir ceritanya itu, terus aku genggam tangan
Sarimah erat-erat.
“Sebab itulah, Sarimah takut bagi menerima mana-mana lelaki
dalam hidup Sarimah. Malah, Sarimah juga sebenarnya sudah mengamanahkan ayah
dan ibu mencari lelaki yang sesuai untuk Sarimah. Biar tidak kaya, biar tidak
kacak, tetapi lelaki itu mampu membahagiakan hidup dengan kasih-sayang dan
mendamaikan hati dengan agama.”
Akhirnya, semuanya sudah jelas. Mengapa ayah dan ibu Sarimah
memilih lelaki seperti aku, dan mengapa Sarimah menerima aku dalam hidupnya.
Genggaman tangan aku semakin kuat.
“Abang... jaga Sarimah. Jaga dan mohon jangan lukakan hati
Sarimah. Mohon bang,” rayu Sarimah dan aku anmpak matanya mula ada air mata
yang berkolam, dan kemudiannya air itu tumpah. Segera aku menyeka air mata
Sarimah.
“Abang, bukan lelaki terbaik, dan abang tidak mampu berjanji
menjadi suami yang terbaik untuk sayang. Abang cuma mampu berjanji, abang
berusaha menjadi lelaki yang terbaik itu, dan berusaha menjadi suami yang
terbaik untuk sayang,” kata aku perlahan, dan Sarimah terus memeluk aku, dan
aku perasan, bahu aku sudah basah dengan air mata Sarimah.