Panduan untuk ibu bapa mengenai
amalan yg patut dilakukan ketika bayi baru lahir:
Sebagai agama yang lengkap lagi
sempurna, Islam telah menetapkan beberapa amalan yang patut dilakukan oleh
orang tua ketika anak mereka baru dilahirkan. Mudah-mudahan dengan mengikuti
panduan-panduan yang telah ditetapkan oleh Islam maka anak-anak atau cucu-cicit
kita akan menjadi anak-anak yang soleh. Lebih-lebih lagi kita yang sedang
berada di zaman yang serba mencabar ini.
Berikut ini akan dipaparkan
beberapa hukum-hakam agama yang berkaitan dengan anak-anak yang baru
dilahirkan:
1. Ucapan Bisyarah Atau Tahniah
Umat Islam disunatkan untuk
mengucapkan bisyarah (menyampaikan berita yang menggembirakan kepada seseorang)
atau mengucapkan tahniah jika ia luput memberi bisyarah, iaitu dengan mendoakan
kebaikan untuknya setelah dia mengetahui, khususnya apabila ia akan ataupun
sudah mendapat cahaya mata. Faedahnya antara lain supaya rakannya merasa
gembira dan menambah erat persahabatan dan silaturrahim.
Di dalam Al-Quran dan dalam Hadis
sungguh banyak kisah tentang hal ini, umpamanya Firman Allah (yang bermaksud):
Hai Zakaria, sesungguhnya Kami
menyampaikan berita gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya
Yahya, dan sesungguhnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan
dia. [Maryam 7]
Dalam kitab sirah diriwayatkan
bahwa:
“Ketika Nabi (sallallahu alayhi
wasalam dilahirkan, Thuaibah (hamba Abu Lahab) telah menyampaikan berita
gembira kepada tuannya Abu Lahab bahwa Abdullah telah mendapat seorang anak
lelaki. Lalu Abu Lahab pun memerdekakan Thuaibah ketika itu juga kerana merasa
sangat gembira dengan berita tersebut. Allah tidak sia-siakan ganjaran itu
untuknya”. (Lihat kitab: Tarbiatul Awlad – Nashih ‘Alwany I / 68-69).
2. Ta’zin Dan Iqamah
Dan di antara amalan yang sangat
digalakkan Islam ialah mengazankan pada telinga kanan bayi serta mengiqamahkan
pada telinga kirinya. Ini berdasarkan dalil hadis bab di atas.
Dan diriwayatkan dari Ibnu Abbas
ra bahwa Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) telah mengazankan pada telinga
kanannya Al-Hasan Bin Ali pada hari lahirnya dan mengiqamahkan pada telinga
kirinya.
Adapun rahasia di balik amalan
tersebut ialah sebagaimana dinyatakan dalam kitab: Tuhfatul Maudud, halaman 21:
a. Mengawali pendengaran bayi
dengan kalimah Tauhid ketika ia mula-mulamemasuki alam dunia sebagaimana kita
juga disuruh mengajarkannya ketika akan keluar daripada alam ini.
b. Mengusir syaitan dan
melemahkan tipudayanya.
c. Supaya kita awali dakwah
(mengajaknya) ke jalan Allah dan agamaNya mendahului ajakan syaitan. Ini
sebagaimana fitrah Allah (tauhid) pada setiap insan sejak lahir lagi sebelum ia
diubah oleh syaitan.
Apa yang dinyatakan oleh Ibnu
Al-Qayyim di atas menjadi dalil yang sangat besar dan jelas betapa Rasulullah
(sallallahu alayhi wasalam) mengutamakan aspek Akidah, Tauhid dan Iman. Dan
sekaligus mengusir syaitan dan kehendak hawa nafsu sejak permulaan perjalanan
di alam dunia ini lagi.
3. Tahnik
Tahnik maknanya menggosok
kunyahan tamar dengan telunjuk kanan pada gusi dan langit-langit bayi yang baru
lahir. Gerakan ke kiri dan ke kanan bahagian dalam mulut bayi hendaklah
dilakukan dengan lembut sehingga sampai manisan kurma itu ke semua bahagian
dalam mulut. Jika tidak ada kurma (tamar), boleh juga digunakan benda-benda
manis lainnya seperti madu.
Dan di antara hikmah tahnik ini
ialah supaya memperkuat otot-otot mulut, gusi dan langit-langit bayi yang tidak
lama kemudian akan menghisap dan menyedut keluar susu ibunya.
Dan adalah afdhal (lebih baik)
jika yang melakukan tahnik ini orang yang dipandang lebih taqwa dan lebih soleh
sebagai mengambil keberkatan dengan harapan semoga bayi tersebut kelak juga
memiliki sifat-sifat yang terpuji. Dan mungkin atas dasar inilah para sahabat
banyak yang meminta jasa baik Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) untuk
mentahnikkan anak-anak mereka yang baru lahir sebagaimana diberitakan dalam
hadis.
4. Tahliq
Tahliq maknanya mencukur habis
rambut bayi hingga botak samada bayi lelaki atau bayi perempuan. Sebaiknya
tahliq ini dilakukan pada hari yang ketujuh daripada kelahiran. Rambut tersebut
hendaklah ditimbang dengan emas atau perak atau wang yang kemudian jumlah itu
disedekahkan kepada fakir miskin.
a. Hikmah Kesihatan:
Pencukuran itu dapat memperkuat
deria penglihatan, bau dan pendengaran bayi serta dapat menghilangkan keracunan
pada pori-pori rambutnya. (Lihat kitab: Tuhfatul Maudud dan Tarbiyah
Al-Awlaad).
b. Hikmah Kemasyarakatan:
Bersedekah sejumlah wang yang ditimbang
sama berat dengan rambut bayi itu kepada fakir miskin atau sesiapa yang berhak
menerimanya mengandungi unsur-unsur kemasyarakatan. Diharapkan semoga setelah
bayi itu dewasa kelak ia akan menjadi manusia yang dermawan dan suka menolong
anggota masyarakat yang kurang bernasib baik.
Daripada Anas Bin Malik ra
katanya: Sesungguhnya Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) menyuruh agar
mencukur kepala Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka, lalu mereka
pun dicukur; dan selanjutnya disedekahkan perak seberat rambut itu.
(HR Yahya Bin Bakir)
Dan dalam hal ini Rasulullah
(sallallahu alayhi wasalam) telah melarang Al-Qaza’ iaitu mencukur sebahagian
kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Daripada Abdullah Bin Umar ra
katanya: Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) telah melarang daripada
Al-Qaza’. (HR Bukhari dan Muslim)
Al-Qaza’ mencakupi empat jenis:
i. Menggunting rambut bayi
sejemput sini dan sejemput sana (tidak teratur)
ii. Menggunting atau mencukur
bahagian tengah kepala bayi dan membiarkan rambut bahagian tepi kiri dan tepi
kanannya.
iii. Menggunting atau mencukur
bahagian tepi kiri dan kanan, tetapi membiarkan bahagian tengahnya.
iv. Menggunting atau mencukur
bahagian depan kepala bayi dan membiarkan bahagian belakangnya atau sebaliknya
(jambul)
Kesimpulan:
1. Di antara amalan yang
digalakkan oleh Islam ketika bayi baru lahir ialah: (Bisyarah atau Tahniah,
Azan dan Iqamah, Tahnik dan Tahliq.
2. Walaupun amalan di atas hanya
sunat hukumnya, namun umat Islam tidak wajar mengabaikannya. Lebih-lebih lagi
dalam menghadapi dunia yang serba mencabar ini. Semoga dengan melakukan
sunah-sunah Nabi tersebut anak-anak kita akan menjadi anak-anak yang soleh dan
dilindungi Allah.
3. Segala panduan-panduan yang
datang daripada Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) pasti baik. Termasuklah
bagaimana cara kita membentuk anak sejak kecil lagi agar mereka menjadi
anak-anak yang soleh.
No comments:
Post a Comment